Wednesday, January 6, 2016

Ketua Menteri Melaka Saran 'Sultan Melaka' Sertai Maharaja Lawak..


Datuk Seri Idris Haron menyarankan individu yag mengaku dirinya sebagai ‘Sultan Melaka’ supaya menyertai program Maharaja Lawak kerana sering kali membuat perkara-perkara berunsur jenaka.

Ketua Menteri Melaka itu berkata, individu yang mengaku dirinya Sultan Melaka, Noor Jan Tuah, 58, bersama rakan-rakannya yang menerima pingat baru-baru ini juga boleh dianggap sebagai kumpulan lawak jenaka.

“Apa yang dilakukan sebenarnya sesuatu yang memalukan dan lebih baik ‘Sultan Melaka’ ini dan rakan-rakannya menyertai Raja Lawak.

“Jika dia berminat untuk meneruskannya, saya cadangkan supaya beliau dan rakan-rakannya menubuhkan satu kumpulan teater bergerak dan membuat persembahan di setiap negeri,” katanya, lapor Sinar Harian.

Idris menambah, Noor Jan tidak sepatutnya menjadikan negara atau Melaka sebagai pentas jenaka hingga boleh menimbulkan pandangan tidak baik daripada pihak lain.

“Negara kita adalah sebuah negara yang berdaulat, merdeka dan sudah diiktiraf di dunia malah mempunyai Perlembagaan yang perlu didokong oleh setiap rakyat di negeri ini.

“Sekiranya perkara-perkara sebegini berlaku bukanlah ia akan membuatkan orang lain memandang negara kita sebagai satu jenaka,” tegasnya.

Sehubungan itu, Idris menggesa Noor Jan tidak memburukkan lagi suasana memandangkan negara kini telah cukup baik.

Isu Noor Jan kembali hangat selepas gambarnya mengadakan majlis pengurniaan darjah kebesaran kepada beberapa individu dan aktivis menjadi viral di media sosial.

Antara yang dikurniakan darjah kebesaran itu yang membawa gelaran Datuk Paduka ialah Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia, Abdul Rani Kulup Abdullah lapor Free Malaysia Today



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails