Tuesday, January 5, 2016

Kejatuhan Nilai Ringgit Sebabkan Pakej Haji Dan Umrah Naik Harga


Peningkatan kadar bayaran bagi pakej haji dan umrah di bawah kelolaan agensi swasta adalah disebabkan oleh kejatuhan nilai ringgit.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tour, Datuk Daud Che Ngah berkata, kesan kejatuhan mata wang negara menyebabkan antaranya kadar sewaan penginapan, makanan dan pengangkutan di Arab Saudi meningkat 30 peratus.

“Semua pembayaran adalah dalam nilai riyal. Dua tahun lalu kadar tukaran ringgit kepada riyal adalah RM85 bersamaan dengan 100 Riyal Arab Saudi.

“Tetapi lepas musim haji baru-baru ini, nilai tukaran ringgit kepada riyal lebih rendah, iaitu 85 Riyal bersamaan RM100,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, tiket penerbangan sahaja dibayar dalam bentuk ringgit namun kosnya juga meningkat.

Katanya, kejatuhan mata wang ini menyebabkan agensi-agensi swasta terpaksa menaikkan kadar pakej bagi meneruskan kelangsungan perniagaan.

“Kami orang meniaga yang membantu orang Islam di negara ini melakukan ibadah. Jika tidak dinaikkan, kami tidak boleh meneruskan perniagaan.

“Bukan pihak kami sahaja menanggung beban, tetapi agensi swasta lain juga dan itu harga ibadah yang perlu dibayar mereka,” katanya.

Che Ngah berkata, sekiranya ringgit terus jatuh dan tidak stabil, pihaknya terpaksa naikkan harga pakej.

Katanya, agensi swasta berbeza dengan Tabung Haji yang merupakan badan besar yang mampu menanggung kos akibat kejatuhan ringgit dengan memberikan subsidi.



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails