Tuesday, January 5, 2016

Beza RM2 Bilion, DAP Gesa 1MDB Dedah Perjanjian


1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu mendedahkan perjanjian jual beli di antara pelabur negara itu dan usahasama China-Malaysia untuk kepentingan 60% di Bandar Malaysia, kata DAP, selepas usahasama itu semalam mendedahkan ia membayar kurang RM2.13 bilion daripada harga yang didakwa penjual kepada 1MDB.

Dalam makluman kepada Bursa Saham Hong Kong, China Railway Group Limited berkata, usahasamanya dengan Iskandar Waterfront Holdings Berhad (IWH) mempunyai saham bernilai RM5.28 bilion.

Tetapi 1MDB mengumumkan pada 31 Disember, tawaran itu berharga RM7.41 bilion dan usahasama itu membayar 10% wang pendahuluan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua mempersoalkan sekiranya 1MDB membuat "kesilapan budak sekolah" dalam mengira harga transaksi sebenar.

Beliau juga bertanya jika harga itu dinaikkan bagi memberi gambaran baik terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Mungkin 1MDB tidak menjangka China Railway akan membuat pengumuman di Hong Kong Exchange, atau ada pihak yang benar-benar akan membaca pengumuman itu.

"Bagaimanapun, kita tahu, berdasarkan sejarah, penyata 1MDB mesti sentiasa diteliti dengan penuh keraguan kerana ia sering tidak mencerminkan kebenaran yang sepenuhnya.

"Kenyataan mereka sering dibuat supaya sesuai dengan apa yang mereka mahu anda tahu atau fikir, bukan untuk memberikan anda pemahaman sebenar tentang keadaan itu," Pua berkata dalam satu kenyataan.

Oleh itu, beliau berkata, 1MDB perlu mendedahkan kepada umum perjanjian jual beli yang ditandatangani antara syarikat itu bagi memastikan tidak ada kesamaran mengenai perjanjian itu dan ia difahami dengan jelas kedua belah pihak.

Dengan itu, katanya, tidak ada pihak boleh menuduh 1MDB bertindak selektif dalam mendedahkan maklumat kepada orang ramai.

"Rakyat Malaysia juga tidak akan bimbang jika terdapat syarat penting dan substantif dalam perjanjian itu yang mungkin boleh menjejaskan kepentingan 1MDB dan pembayar cukai Malaysia," kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Pada 31 Disember lalu, 1MDB berkata penjualan kepentingannya dalam Bandar Malaysia adalah sebahagian daripada rancangannya mengurangkan hutang yang sejumlah RM45 bilion.

Pegangan itu dibeli sebuah konsortium yang terdiri daripada IWH dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC), anak syarikat China Railway Group di Malaysia.

Konsortium IWH-CREC Sdn Bhd ialah usaha sama 60:40 antara IWH dan CREC. Konsortium yang memenangi bidaan itu, bersama pemegang saham sedia ada, akan meneruskan baki komitmen di Bandar Malaysia, termasuk penempatan semula Pengkalan Udara Kuala Lumpur, projek yang menelan belanja RM2.7 bilion pada keseluruhannya lapor The Malaysian Insider



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails