Thursday, December 17, 2015

Untuk Apa Yapeim Wujudkan Pusat Sukan Golf Simulator Ini?


Selepas pendedahan demi pendedahan dibuat mengenai skandal melibatkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Pusat Pemantau dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) hari ini menuntut penjelasan berhubung keperluan agensi itu memiliki pusat sukan golf simulator yang dinamakan "Pusat Latihan INPUT Golf".

INPUT ialah singkatan bagi Institut Penyelidikan dan Perundingan Yapeim.

Pengarahnya Akmal Nasir berkata banyak persoalan timbul mengenai pusat sukan itu, memandangkan Yapeim berteraskan amal jariah sebagaimana penyataan misinya, iaitu "Membangun Ummah Melalui Beramal Jariah".

Beliau berkata, menurut laporan bajet yayasan itu bagi 2013, Kelab Sukan Korporat Yapeim mengadakan aktiviti permainan golf melibatkan kakitangannya dan agensinya, serta institusi luar, sebanyak 8 kali pada tahun tersebut.

"Laporan bajet itu menyatakan, termasuk bagi tujuan aktiviti sukan korporat dan program permainan golf adalah mewujudkan Pusat Sukan INPUT Golf Simulator melalui INPUT Yapeim.

"Ini termasuk mengenal pasti kelab golf bersesuaian bagi tujuan dijadikan Pusat Kegiatan dan Latihan Sukan Korporat Golf," katanya pada satu sidang media di ibu pejabat NOW hari ini.

Akmal turut menunjukkan kepada pemberita, bukti gambar yang mengesahkan pusat latihan golf itu, yang terletak di Mentari Business Park, Petaling Jaya, milik Yapeim.

Antara persoalan yang dibangkitkan NOW mengenai pusat sukan itu ialah, berapa kos pembelian dan penyelenggaraan peralatan golf simulator itu dari tempoh ia dibeli sehingga hari ini.

NOW juga ingin tahu kos pemilikan, pengurusan dan pentadbiran pusat sukan itu dan keperluan mewujudkan pusat berkenaan.

“Seperti mana dinyatakan dalam laporan bajet 2013, tujuannya dikatakan hanya sekadar memenuhi program sukan korporat Yapeim,” kata Akmal.

Mengulas lanjut, beliau menyenaraikan antara aktiviti permainan golf yang disertai warga Yapeim dan agensinya serta institusi luar.

“Berdasarkan senarai permainan golf yang direkodkan, program terbesar berlangsung pada 18 Ogos 2013, iaitu ‘Majlis Hi-Tea Golf Amal Silaturrahim Sambutan Aidil Fitri Yapeim’ di Kota Kinabalu, Sabah yang melibatkan seramai 56 orang peserta, dan turut dihadiri pemimpin-pemimpin negeri Sabah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom,” katanya.

Mengukuhkan lagi kenyataannya, Akmal berkata, berdasarkan Nota-nota Penyata Kewangan Yapeim bagi tahun berakhir 31 Disember, 2014, bahagian Hartanah, Loji dan Peralatan Susutnilai menunjukkan peralatan golf simulator tersenarai dalam peralatan yang mengalami susutnilai tahunan.

“(Sedangkan) dokumen yang sama turut menunjukkan kegiatan utama INPUT adalah menyediakan khidmat latihan, penyelidikan dan perundingan di dalam pelbagai perkara yang memberi faedah kepada masyarakat Islam, mengikut sistem pengurusan moden yang berlandaskan hukum syarak.” lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails