Monday, December 14, 2015

Pengerusi Tetap Tak Puas Hati, PKR Terlalu Fokus Isu Anwar..


Ahli PKR mengkritik parti itu yang dilihat terlalu fokus kepada perjuangan untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga lari daripada perjuangan untuk rakyat.

Pengerusi Tetap PKR Cabang Sepang, Arffain Mohamed berkata, perjuangan yang dibawa Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika ini lebih kepada emosi dan peribadi.

“Perjuangan Wan Azizah lari dari hala tuju parti, nampak perjuangannya lebih kepada suami (Anwar), berbanding rakyat. Kita tengok dalam Kongres Nasional PKR baru-baru ini tema yang diguna ialah ‘Bebas Rakyat, Bebas Anwar’. Benda itu sepatutnya tidak boleh dijadikan tajuk utama,” katanya kepada FMT.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang Sepang, Nasiruddin Mohamed pula berkata, Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang sepatutnya mengetepikan isu peribadi.

“Sepatutnya Wan Azizah perlu membawa perjuangan bebas semua rakyat, namun Wan Azizah tidak bersalah sebaliknya kepimpinan PKR itu sendiri perlu bangkitkan benda ini,” katanya.

Katanya, Wan Azizah sepatutnya menumpukan usaha memperkukuh pakatan pembangkang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Wan Azizah kena bincang inilah masa terbaik, sekiranya pembangkang mahu menang dan jalan terbaik beliau perlu betulkan apa yang berlaku dalam pembangkang dan PKR.

“Malah sekiranya kemelut yang berlaku ini tidak dibuat, tidak mustahil kemelut yang berlaku dalam UMNO akan berlaku juga pada PKR,” katanya yang pernah bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil pada PRU13.

Nasiruddin tanpa berselindung mengaku Datuk Seri Mohamed Azmin Ali paling layak untuk mengambilalih jawatan Presiden PKR jika Wan Azizah bersara lapor Free Malaysia Today


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails