Sunday, December 27, 2015

Mengapa JAKIM Perlu RM1 Billion? Soal Sultan Johor..


Sebulan selepas seorang timbalan menteri berkata bajet yang diperuntukkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mencukupi, Sultan Johor bertitah, baginda tidak faham mengapa agensi agama persekutuan itu perlu hampir RM1 bilion setahun.

Dalam satu temubual eksklusif dengan akhbar The Star, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata baginda mahu Jakim menunjukkan kepadanya bagaimana ia membelanjakan wangnya pada mesyuarat Majlis Raja-Raja akan datang.

"Beta ingin tahu jika benar, mengapa mereka perlu bajet RM1 bilion? Adakah ia termasuk peruntukan kepada semua negeri?

"Semasa persidangan Majlis Raja-Raja seterusnya, beta mahu mereka tunjukkan kepada beta pecahan perbelanjaan mereka.

"Beta ingin tahu jika mereka ada membiayai sekolah agama di sini," pemerintah Johor itu dipetik sebagai berkata.

The Malaysian Insider melaporkan pada November, Jakim memperuntukkan hampir RM1 bilion wang pembayar cukai tahun ini, dengan sebahagian besar daripadanya untuk aktiviti dasar, termasuk menangkis cubaan "kumpulan ajaran sesat" menyesatkan umat Islam di negara ini.

Dalam responsnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Jakim memerlukan lebih daripada RM1 bilion bagi memenuhi permintaan umat Islam di Malaysia dan memerangi mereka yang menentang kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berkata, peruntukan sebanyak itu bukan satu pembaziran.

Tetapi, pengkritik menuduh Jakim bertentangan dengan Perlembagaan dan menceroboh kuasa Raja-raja, yang merupakan ketua agama bagi negeri masing-masing.

Sultan Ibrahim mengesahkan kedudukan Raja-raja dan berkata kuasa Jakim terhad kepada menasihati atau mencadangkan garis panduan kepada mereka.

Baginda berkata, terpulang kepada Sultan untuk menerima nasihat Jakim atau tidak, sambil menambah jabatan agama peringkat persekutuan itu tidak berhak campur tangan dalam negeri itu.

'Beri Najib peluang'



Sultan Ibrahim juga memberitahu The Star baginda percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu diberi peluang dan semua orang mesti "bergerak ke depan".

Katanya, semua perdana menteri melakukan kesilapan, dan Najib "adalah perdana menteri sama ada anda suka atau tidak".

"Beta tahu perdana menteri menerima pelbagai kritikan tetapi beta katakan beri beliau peluang.

"Tahun ini akan menutup tirainya, kita mesti bergerak ke depan. Ia merupakan tahun yang mencabar bagi semua orang termasuk diri beta.

"Terdapat pelbagai isu masih perlu ditangani, perlu meyakinkan rakyat yang memerlukan jawapan, tetapi beta mesti katakan mereka juga perlu penutupnya.

"Setiap daripada kita melakukan kesilapan tetapi kita perlu bersedia belajar daripada mereka, membetulkan kesilapan dan melakukan perkara yang betul. Membetulkan apa yang salah,” titahnya.

Baginda berkata Najib kerap memaklumkan kepadanya mengenai isu yang memberi kesan kepada pembangunan Johor, dan selain lawatan rasmi yang dilaporkan media, mereka juga mengadakan mesyuarat secara tenang dan tidak formal.

"Beta tidak mahu membangkitkan perkara lalu atau mengkritik mana-mana ahli politik yang sedang aktif atau bersara, tetapi perdana menteri memahami dan menghargai keperluan bekerjasama dan tidak mengulangi masa lalu."

Sultan berkata, beliau juga menerima lawatan daripada salah seorang pengkritik tegar Najib, bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri besar Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Beliau datang ke sini menerusi temujanji. Beta membenarkannya tetapi beta cuba mengelak bercakap mengenai politik. Beliau datang berjumpa beta sebanyak dua kali.

"Beliau meluahkan rasa tidak puas hati. Beta mendengar dan menyimpannya di dalam hati."

Sultan Ibrahim mengakui baginda lantang bersuara, tetapi baginda percaya, hal politik perlu dikendalikan sendiri ahli politik.

"Biarkan ahli politik mengendalikan hal politik. Beta di atas politik.

"Jika beliau memerlukan nasihat, beta di sini sebagai kawan. Isu sama ada anda dari Johor tidak timbul," titahnya.

Tambahnya, baginda menerima kehadiran ramai pemimpin tetapi ia tidak bermaksud selepas lawatan ini, istana menyokong kepimpinan mereka.

"Beta amat bangga menjadi anak Johor tetapi itu tidak bermakna beta secara membuta tuli menyokong sesiapa sahaja dari Johor."

Bosan tiada ketegasan dalam isu vape

Sultan Ibrahim berkata baginda mengarahkan pengharaman ke atas jualan vape di negeri itu kerana bosan dengan pihak berkuasa yang tidak dapat membuat keputusan mengenainya.

Katanya, vape ialah semata-mata isu kesihatan dan melihat "wanita bertudung dan kanak-kanak menghembuskan asap vape" membuatkan baginda sedar ia permulaan kepada satu ancaman.

Baginda membidas "ahli politik membuat kenyataan tidak masuk akal" dan bertanya sama ada mereka benar-benar mengambil berat tentang kesihatan orang ramai.

"Beta bosan dengan pelbagai pihak berkuasa di peringkat negeri dan kerajaan persekutuan yang masih tidak boleh membuat keputusan mengenai isu ini.

"Mereka mengheret isu ini dan beberapa ahli politik membuat kenyataan tidak masuk akal yang vape tidak harus diharamkan kerana jutaan undi akan hilang dan kepentingan bumiputera akan terjejas."

Sultan Ibrahim bertitah, semua yang mempertahankan vape melakukannya demi perniagaan mereka.

"Ini merupakan perniagaan haram. Apa kesannya jika Johor membenarkan penjualan produk itu di pusat membeli-belah, rumah kedai dan pasar malam?" soalnya lapor The Malaysian Insider



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails