Tuesday, December 22, 2015

Keluar Dari PAS Jika Nak Bergabung Dengan UMNO - Naib Presiden PAS


Di tengah-tengah isu keakraban Umno-PAS, Naib Presiden PAS Idris Ahmad menegaskan bahawa pandangan peribadi tidak boleh dipakai dalam isu itu.

“Jika ada individu yang hendak bergabung dan teringin dengan Umno, maka individu itu sahaja yang pergi,” katanya.

Beliau menegaskan PAS pernah kehilangan pemimpin-pemimpin kanannya sebelum ini, termasuk dua presiden, Ahmad Fuad dan Datuk Asri Muda tetapi PAS tidak lemah.

“PAS tetap hebat, kerana dasar, bukan kerana individu. Siapa pun boleh pergi, Insya-Allah PAS berdiri gagah,” katanya.

Beliau sebelum itu mengulas spekulasi parti itu mahu bergabung dengan Umno, dengan menegaskan mereka mempunyai organisasi pelbagai peringkat.

“Heboh di peringkat media sosial dan media perdana, PAS hendak bergabung dengan Umno.

“Ingin saya tegaskan bahawa PAS ada organisasi daripada peringkat Majlis Syura Ulama, AJK (anggota jawatankuas) PAS Pusat, dan muktamar (tahunan),” katanya.

Acara 'proksi kerajaan'

Beliau berkata demikian ketika menyentuh majlis anjuran alumni Universiti Al-Azhar yang menyaksikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkongsi pentas.

Selain warna baju mereka yang sedondon mencuri perhatian, ramai dilihat cuba membaca bahasa tubuh dan kemesraan kedua-dua pemimpin itu di pentas.

Hadi menyampaikan ucap utama dalam acara itu manakala Najib pula merasmikannya.

Dalam kenyataannya, Idris berkata sejak acara yang menurutnya disediakan “proksi kerajaan” itu, terbukti PAS tidak akan mengikut agenda orang lain tetapi hanya apa yang diajar oleh agama.

Sementara itu, Idris juga menyeru anggota dan penyokongnya supaya menjadikan media rasmi parti – Harakah dan Harakahdaily – sebagai rujukan untuk sebarang keputusan parti.

Selain itu, anggota PAS juga diseru hadir ke acara dan dialog bersama pemimpin dan mendapatkan maklumat terus keputusan parti dan bukan pandangan peribadi.

“Jangan jadikan media perdana, media sosial, hatta media alternatif, mereka ada agenda yang tersendiri untuk memadam cahaya perjuangan PAS,” dakwanya lapor Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails