Sunday, December 20, 2015

Individu Enggan Beri Laluan Kepada Polis Pengiring Boleh Dikenakan Tindakan Kata KPN..


Pihak yang ingkar kepada arahan polis pengiring bagi orang kenamaan utama (VVIP) termasuk enggan memberi laluan boleh dikenakan tindakan undang-undang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata pihak tidak bertanggugjawab itu boleh dikenakan tindakan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas selain berdepan hukuman mengikut Akta Polis 1967.

"Ada perbincangan (pihak tertentu) yang mengajak orang ramai supaya tidak mengikut arahan polis semasa iring orang kenamaan.

"Saya nasihatkan pengguna jalan raya supaya patuhi arahan polis yang bertugas, ada sebab kenapa mereka iringi VVIP itu...yang utama adalah sebab keselamatan," katanya kepada pemberita selepas menerima Ijazah Doktor Kehormat dalam Kepimpinan daripada Universiti Limkokwing di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas viral mengenai polis pengiring tidak diberi laluan pengguna jalan raya semasa mengiringi seorang VVIP baru-baru ini.

Sehubungan itu, Khalid meminta beberapa portal berita yang memainkan isu polis pengiring supaya berhenti berbuat demikian dan menyifatkannya sebagai tindakan mengajak rakyat supaya mengingkari undang-undang.

"Saya minta anda hentikan perkara ini...tiada baiknya, anda mengajak rakyat supaya ingkar undang-undang," katanya.

Mengulas mengenai catatan Twitter beliau pada Jumaat berkenaan rampasan 4 pucuk pistol di Kajang Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFFOC) Bukit Aman, Khalid berkata pihaknya mengesyaki ia mempunyai kaitan dengan kes tembak seorang bapa dan anak di Semenyih bulan lepas.

Menurutnya polis giat menjalankan siasatan dan yakin lebih ramai suspek akan ditahan.

Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun meninggal dunia manakala bapanya cedera parah akibat ditembak di Jalan Besar, Semenyih pada malam 24 November lepas.

"Saya minta masyarakat terus beri kerjasama dengan kita dengan menyalurkan maklumat. Kita akan pastikan tindakan diambil ke atas mereka (suspek) ini," tegas Khalid.

Mengenai tunjuk perasaan yang dibuat seorang veteran tentera Ali Tinju di depan bangunan Kota Raya di Kuala Lumpur pada Jumaat, Khalid berkata lelaki itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 jika didapati melanggar undang-undang.

Ali Tinju atau nama sebenarnya Mohd Ali Baharom dilapor membuat kenyataan yang menyentuh sentimen perkauman semasa melakukan tunjuk perasaan itu.

Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata pihaknya tidak boleh dipersalahkan dalam isu Ali Tinju hanya kerana keputusan membebaskannya daripada tuduhan menghasut 17 September lepas.

"Tidak adil untuk tuduh (pihak kami) bertanggungjawab. Saya dah jelaskan, rakaman video mengenai tuduhan menghasut Ali Tinju tidak cukup, kalau cukup saya akan dakwa," katanya ketika ditemui pada majlis sama lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails