Wednesday, December 23, 2015

Hidup Kakitangan Kerajaan Ibarat Kais Pagi Makan Pagi, Kais Petang Belum Tentu Makan..


Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan kehidupan penjawat awam sepanjang tahun 2015 merupakan sesuatu yang amat tertekan.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata tekanan yang dihadapi penjawat awam kebanyakkannya disebabkan oleh sara hidup yang tinggi selain tanggungan hutang isi rumah.

"Kalau boleh saya simpulkan kehidupan penjawat awam sepanjang 12 bulan bermula Januari hingga Disember, seolah-olah kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu.



"Seolah-olah seperti enau dalam belukar. Masing-masing berlumba macam mana kita nak dapat peluang ini. Kita cakap negara kita nak menjadi negara maju, tapi kami masih dibelenggu keadaan seperti berhutang, terpaksa meminjam koperasi...kalau tidak kita tak mampu beri yang terbaik kepada keluarga," ujar Azih kepada media susulan mesyuarat kongres itu di sini hari ini.

Malah, Azih juga melahirkan kekecewaan apabila kerajaan seolah-olah tidak mengambil sebarang tindakan sedangkan harga barang yang diisytiharkan bebas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dinaikkan dengan sewenang-wenangnya.

"Apa yang amat menyedihkan, harga barang sudah mula naik. Harga barang yang kerajaan isytiharkan sifar GST pun telah naik harga. Walaupun RM1, ia adalah amaun yang besar kepada kumpulan rendah macam kami termasuk juga rakyat yang berada di kampung dan luar bandar.

"Cuepacs rasa kesal kerana kenaikan harga barang ini seolah-olah tidak ada kawalan, tidak ada siapa yang boleh kawal dan kalau perkara ini berterusan kami akan berada dalam kesusahan serta tekanan hidup yang serius. Kita akan berada dalam keadaan di mana kemampuan untuk berbelanja tidak ada lagi," tegas Azih.

Selain kos sara hidup, Azih menyifatkan penjawat awam Gred 40 ke bawah kini semakin sukar untuk mendapat kelulusan pinjaman perumahan lantaran tanggungan hutang isi rumah yang tinggi.

Malah, Cuepacs juga kesal kerana Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menetapkan pelbagai syarat kepada penjawat awam untuk memiliki rumah.

"Kita juga rasa kesal kerana hingga hari ini mekanisma penetapan harga rumah tidak disediakan oleh pihak kerajaan. Sepatutnya kerajaan ada satu mekanisma untuk menetapkan harga rumah, berapa peratus kadar keuntungan yang hendak diambil pemaju, berdasarkan harga semasa dan bukan harga spekulasi.

"Hari ini harga rumah dijual pada harga spekulasi. Semakin banyak permintaan, semakin tinggi harga, tetapi kami kumpulan pelaksana, Gred 40 kebawah kami tidak mampu nak beli rumah, apa lagi apabila LPPSA mengenakan pelbagai syarat," katanya.

Justeru, Azih mahu kerajaan memandang serius keluhan penjawat awam yang kini semakin dibelenggu pelbagai masalah lantaran desakan hidup terutama melibatkan mereka yang menetap di kawasan bandar ~ AstroAwani


Kata Najib sebelum PRU..


Selepas menang PRU13.. Kami peduli apa?



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails