Saturday, December 26, 2015

Gara-gara Bantah Kerjasama UMNO-PAS, Tuan Ibrahim Kini Sasaran Media Tunggangan UMNO..


Gara-gara tindakan Tuan Ibrahim menyiram air batu dengan menyarankan kepada Naib Presiden Umno Datuk Hishamuddin Hussein agar menyuruh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak bercuti menunggu siasatan terhadap 1MDB dan derma RM2.6 bilion selesai di tengah-tengah kehangatan cubaan Umno untuk memikat PAS untuk bekerjasama beliau dilabel sebagai "buah kedondong".

"Berbeza dengan kedondong, luarnya licin tapi rasanya masam dan di dalamnya ada biji yang berduri. Nyatalah, Tuan Ibrahim kini sudah jadi buah kedondong di dalam partinya apabila bersikap menentang kerjasama UMNO dengan PAS," tulis BNBCC.my di artikelnya yang turut dipapar oleh AgendaDaily.

Ini bukan kali pertama Tuan Ibrahim diserang oleh media pro-Umno.

Ketika Tuan Ibrahim menegaskan bahawa PAS tidak akan memikul biawak hidup sebagai jawapan kepada pelawaan Najib kepada PAS secara terbuka di Perhimpunan Agong Umno baru-baru ini, media pro-Umno BNBCC.my dan MYKMU.net telah menyerang Tuan Ibrahim secara berturut-turut dengan perkataan seperti "ego" dan "Anwarinas."

Dengan serangan sedemikian, sudah terang dan jelas bahawa Umno kini mensasarkan Tuan Ibrahim sebagai pemimpin PAS yang perlu dijatuhkan.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kalah bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka pada PRU 13, namun bernasib baik menang jawatan Timbalan Presiden PAS pada pemilihan parti Jun lalu.

Kemenangan itu bukan bermakna beliau hebat tetapi lebih kepada nasib apabila sebilangan besar perwakilan sudah meluat dengan sikap Mohamad Sabu yang dilihat lebih sayangkan PKR dan DAP berbanding PAS sendiri.

Tuan Ibrahim juga mungkin menang kerana Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong beliau kerana tidak ada calon lain walaupun Tuan Ibrahim bukan Adun mahupun ahli parlimen mewakili PAS.

Malangnya, selepas dipilih ke jawatan nombor dua parti, belang beliau tidak ubah sepert bekas pemimpin-pemimpin PAS yang keluar parti menubuhkan serta menyertai AMANAH.

Kebelakangan ini, beliau amat lantang mengkritik niat dan hasrat kerjasama antara UMNO dan PAS walaupun Presiden partinya dan beberapa pemimpin lain menunjukkan reaksi positif.

Semua tahu bahawa bergabung dan bekerjasama adalah dua perkara berbeza.

Bukan sahaja PAS, UMNO sendiri pun pasti tidak akan bergabung dengan parti itu sebaliknya apa juga usaha kebelakangan ini lebih kepada kerjasama untuk perpaduan Melayu dan Islam.

Hasil pada pertemuan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Hadi, pada Isnin kerajaan Terengganu menandatangani perjanjian bersetuju menjual air secara pukal kepada Kelantan.

Sebelum ini, ketika negara berdepan banjir luar biasa, kerajaan Pusat dan Kelantan bekerjasama membantu mangsa-mangsa banjir dan kini dalam proses menyediakan rumah kepada mereka yang terlibat bencana itu.

Itu namanya kerjasama.

Namun, Tuan Ibrahim yang juga kalah pada PRU 12 pada 2008 di kerusi DUN Kerdau, bekas pensyarah UiTM Jengka dan Manjung seolah-olah tidak suka kepada kerjasama yang sudah dilihat banyak pihak sebagai jalan membuka simpul mati PAS yang sudah lama menganggap UMNO musuhnya.

Sejak diuar-uarkan saranan kerjasama itu, kenyataan Tuan Ibrahim membayangkan seolah-olah PAS milik peribadinya dan parti itu tidak patut bekerjasama dengan UMNO yang pada fikirannya PAS sahajalah parti dengan pemimpin yang maksum.

Beliau menghina UMNO, mengungkit cerita lama yang membayangkan parti yang berjaya menanbah hingga 80 kerusi Parlimen itu lah yang zalim, tidak Islam dan sebagainya.

Sedangkan PAS sebenarnya semakin merosot dengan 23 kerusi pada PRU 12, tinggal 21 pada PRU 13 dan kini hanya berbaki 14 kerusi parlimen selepas 7 ahli parlimen menyertai AMANAH dan PKR.

Bagi beliau, pemimpin UMNO tidak boleh bercakap soal memulihkan imej Islam di negara ini.

Lihat sahaja jawapan balas beliau terhadap cadangan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang berharap PAS dan UMNO bekerjasama memberi keutamaan bagi memulihkan imej Islam.

Beliau dalam kenyataannya bersetuju saranan Menteri Pertahanan itu tetapi mencadangkan kepada UMNO sebagai kerajaan memerintah untuk melaksanakan beberapa perkara berikut sebagai mengambil langkah pertama untuk memperbaiki nama Malaysia dan Islam.

Antaranya Meminta Najib bercuti sehingga siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan Ketua Audit Negara melengkapkan siasatan dan laporan terhadap 1MDB.

Alasan beliau untuk memulihkan nama baik Presiden UMNO, Malaysia dan juga Islam kerana siasatan perlu akan kelihatan adil sebelum keadilan dapat dilakukan.

Beliau juga mahu kerajaan menghapuskan GST kerana cukai itu bertentangan dengan Islam kerana orang fakir miskin turut dipaksa bayar cukai.

Tuan Ibrahim juga mahu Pusat berhenti menganiaya Kelantan dan memulangkan royalti minyak dengan kadar segera.

Kenapa, beliau membangkitkan perkara ini terutama meminta Najib bercuti dan mendakwa Pusat menganiaya Kelantan?

Kenapa dahulu beliau ketika Naib Presiden PAS tidak meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan jawatan Ketua Pembangkang atau ahli parlimen Permatang Pauh apabila berdepan kes liwat?

Benarkan Pusat menzalimi Kelantan sedangkan negeri itu antara yang menerima peruntukan tinggi dan pelbagai bantuan lain?

Teringat falsafah beliau mengenai buah-buahan.

Katanya, jadilah buah DURIAN, jangan buah KEDONDONG.

Durian, walaupun di luarnya penuh dengan kulit yang berduri tajam, tetapi dalamnya lembut dan manis.

Berbeza dengan kedondong, luarnya licin tapi rasanya masam dan di dalamnya ada biji yang berduri.

Nyatalah, Tuan Ibrahim kini sudah jadi buah kedondong di dalam partinya apabila bersikap menentang kerjasama UMNO dengan PAS~ AgendaDaily

Namun, apa yang tidak disangka Umno ialah kini bukan sahaja Tuan Ibrahim yang bersuara. Kedua-dua Naib Presiden PAS - Ustaz Idris Ahmad dan juga Datuk Iskandar Samad juga mengambil pendirian yang keras terhadap kerjasama Umno-PAS.

Malah Idris secara terang-terangan menyuruh ahli PAS yang inginkan Umno dan PAS bergabung untuk keluar PAS.

Soalan yang bermain di minda kini, apakah sikap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap apa yang berlaku?

Apakah beliau akan membiarkan Umno terus menyerang Tuan Ibrahim dan seterusnya Naib-Naib presidennya yang lantang bersuara menentang kerjasama antara Umno-PAS, atau bangkit membela mereka? ~ MalaysiaDateLine



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails