Friday, December 11, 2015

Eh?.. Najib Dapat Derma RM2.6 Billion Pun Kewangan UMNO Masih Defisit?


Penyata kewangan Umno berakhir 31 Disember 2014 menunjukkan defisit, di mana parti pemerintah itu hanya menerima RM82 juta daripada hasil sumbangan dan derma politik.

Dalam lampiran tambahan kepada penyata kewangan yang dilihat The Malaysian Insider, sumbangan itu dipecahkan kepada 2 bahagian iaitu daripada dana bangunan parti tersebut yang berjumlah RM113,000 dan RM81,960,000 daripada "sumbangan diterima" tanpa penjelasan lanjut.

The Malaysian Insider melihat penyata kewangan yang dibentangkan pada perhimpunan agung tahunan parti itu semalam dan diedarkan kepada perwakilan sebagai sebahagian daripada dokumen untuk perhimpunan itu.

Akaun parti itu dipersoalkan sekumpulan ketua Umno cawangan yang menggelar diri mereka Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) kerana gagal mengambil kira sumbangan RM2.6 bilion kepada presiden parti Datuk Seri Najib Razak.

Kumpulan itu baru-baru ini membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan mahu pihak berkuasa menyiasat derma yang diberikan kepada Najib, yang mendakwa beliau mempunyai kapasiti sebagai presiden untuk memegang dana amanah parti.

GKCM juga berkata penyata kewangan Umno bagi tahun 2013 dan 2014 tidak menyebut RM2.6 bilion daripada penderma Timur Tengah itu.

RM2.6 bilion dipindahkan secara berperingkat-peringkat antara 2013 dan Februari tahun ini, menurut The Wall Street Journal yang membuat pendedahan awal mengenainya pada 2 Julai tahun ini, memetik dokumen daripada penyiasat Malaysia.

Bahagian terbesar daripada dana itu – AS$681 juta – dipindahkan ke dalam akaun Najib di AmBank, Malaysia melalui syarikat British Virgin Islands dan Falcon Private Bank di Singapura, pada Mac 2013, sebelum pilihan raya umum ke-13 Mei tahun itu.

Selebihnya disalurkan antara Disember 2014 dan Februari tahun ini melalui entiti dikaitkan dengan syarikat yang diilhamkan Najib, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Najib menafikan mengambil dana daripada 1MDB untuk kepentingan peribadi.

Keterangan beliau berhubung wang itu diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, yang juga turut mengakui sebelum ini yang mereka sudah bertemu penderma dari Timur Tengah itu.

Kedudukan kewangan Umno mencatatkan peningkatan 16% dalam pendapatannya kepada RM171.53 juta pada 2014 berbanding RM147.15 juta pada tahun sebelumnya.

Walaupun jumlah pendapatan parti meningkat RM24 juta, ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan parti yang lebih tinggi.

Jumlah perbelanjaan parti pada 2014 ialah RM203 juta, lebih rendah berbanding RM284 juta pada 2013. Bagaimanapun, kedudukan kewangan Umno mengalami defisit sebanyak RM31 juta pada 2014.

Perbelanjaan terbesar parti pada tahun 2014 membabitkan kos operasi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebanyak RM50 juta, meningkat RM10 juta berbanding tahun 2013 lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails