Tuesday, December 1, 2015

15 Cawangan Saja Yang Tolak Najib - Ahmad Maslan


Hanya 15 daripada 21,000 cawangan Umno yang membantah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Razak, kata Ketua Penerangan parti itu, Datuk Ahmad Maslan.

Oleh itu kata Ahmad, penentangan beberapa Ketua Cawangan Umno terhadap kepimpinan parti sejak akhir-akhir ini tidak boleh menjadi petunjuk khusus mengenai tahap sokongan akar umbi.

"15 cawangan itu memang bermasalah di bahagian masing-masing. Berdasarkan apa yang kami faham, ada sebab-sebab lain 'penentangan' mereka ini.

"Tetapi kami anggap ini sebagai satu cabaran yang perlu parti hadapi dan daripada 191 Ketua Umno Bahagian, kami tidak pula mendengar ada yang menentang," katanya dipetik Utusan Malaysia. 

Ahmad menegaskan, adalah penting untuk Umno menterjemahkan semangat kesepaduan dalam menghadapi cabaran pada perhimpunan agung parti yang bakal berlangsung dari 8 hingga 12 Disember ini.

Terdahulu, beberapa ketua Umno cawangan menyatakan hilang kepercayaan dan keyakinan kepada Najib susulan beberapa skandal dan isu yang tidak terjawab, antaranya isu syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion masuk dalam akaun peribadi Najib.

Dan terbaru pada 28 November lalu, sekumpulan ketua Umno cawangan melancarkan satu gerakan bagi memaksa perdana menteri meletakkan jawatan sebagai presiden dengan segera supaya parti Melayu itu tidak 'dirosakkan' dengan lebih teruk.

Menamakan gerakan itu sebagai Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM), mereka mahu presiden Umno itu segera meletak jawatan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda parti ketika ini lapor AntaraPos


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails