Thursday, November 12, 2015

Skandal YaPEIM: Jamil Khir Kat Mana?.. Kenapa Membisu?


Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dilantik Perdana Menteri atas nasihat Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pengarah Pusat Pemantauan dan pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasir berkata, ia berdasarkan surat yang dihantar Jamil kepada Pengerusi dan Presiden Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Abd Malek Awang Kechil.

Surat itu memaklumkan persetujuan Perdana Menteri melantik Abd Malek ke jawatan itu bagi tempoh 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2016.

Jamil turut melampirkan suratnya kepada Perdana Menteri mengenai senarai penuh cadangannya bagi jawatan Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM termasuk timbalan pengerusinya, Datuk Hajah Siti Zaleha Hussin.

Semalam, Akmal mendedahkan Abd Malek bersama Siti Zaleha dan keluarganya memperolehi pendapatan RM2 juta setahun menerusi 26 jawatan yang disandang mereka dalam YaPEIM.

Justeru, Akmal mempersoalkan sama ada Jamil selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyedari kemungkinan pecah amanah dan salahgunakuasa dalam yayasan itu.

“Adakah Datuk Seri Jamil Khir Baharom sedia mengaku kemungkinan berlakunya pecah amanah, ketirisan dan salah guna kedudukan di agensi YaPEIM sedangkan beliau merupakan Menteri yang bertanggungjawab dan keseluruhan Lembaga Pemegang Amanah dilantik atas nasihat beliau?

“Adakah beliau berani mendesak Datuk Seri Najib Razak memecat kedua-kedua individu tersebut dan ahli keluarga mereka daripada semua jawatan di YaPEIM termasuk kedudukan mereka dalam Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM untuk menghentikan ketirisan yang berlaku di agensi berkenaan?

“Atau adakah beliau turut menerima manfaat daripada YaPEIM sedangkan sepatutnya sumbangan derma orang ramai kepada YaPEIM melalui potongan gaji bulanan diuruskan untuk tujuan amal jariah dan membantu orang yang dalam kesusahan?,” soalnya dalam kenyataan media.

Akmal dalam sidang media semalam mendakwa Abd Malek meraih pendapatan sehingga RM73,000 sebulan dengan memegang 11 jawatan.

Manakala timbalannya, Siti Zaleha pula meraih RM45,000 sebulan dan mendapat 7 elaun dari jawatan yang disandangnya.

Jawatan-jawatan itu disandang menerusi 6 institusi milik penuh YaPEIM beserta 2 anak syarikat dan 6 institusi di bawah kawalannya beserta 3 anak syarikat.

Akmal juga mendedahkan keluarga Zaleha mendapat manfaat paling besar apabila suami dan anaknya turut mendapat gaji dan elaun dari 26 jawatan yang disandang mereka lapor Keadilan Daily



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails