Sunday, November 22, 2015

Sejak Bila Hal Ehwal Pelajar Luar Negara Di Bawah YaPEIM Dan JAWI?


Membaca tentang berbagai laporan mengenai kisah YAPEIM mengadakan berbagai kursus perkahwinan untuk pelajar di luar negara, terpanggil pula aku untuk mempersoalkan beberapa perkara yang berbangkit.

Sebagai ‘orang tua’ yang pernah terlibat dalam ‘hal-hal sebegini’ suatu ketika dahulu amat memerlukan penjelasan.

Sekurang-kurangnya untuk dapat dimengertikan oleh rakyat yang agak dangkal tentang isu-isu yang sebegini.

· Membaca tentang laporan-laporan dan kenyataan yang diberikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (DS Jamil Khir Baharom) dan kenyataan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), Paimuzi Yahya menampakkan bahwa seolah-olah hal ehwal pelajar luar negara telah berada dibawah YAPEIM dan bukan lagi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Atau apakah aku tidak sedar tentang pertukaran tanggungjawab ini?

· Dari laporan-laporan yang dipaparkan menunjukkan bahawa kursus perkahwinan adalah amat penting diberikan kepada pelajar-pelajar. Aku tidak menafikan hakikat itu tetapi apakah kursus yang sedemikian menjadi keutamaan sehinggakan sanggup berbelanja ratusan ribu ringgit semata-mata untuk mengadakan kursus sedemikian rupa.

Izinkan aku memetik kenyataan Pengarah JAWI, Encik Palmuzi Yayaha yang mengatakan bahawa, "Dari segi ekonomi memang jimatkan bajet pelajar di luar negara untuk kursus perkahwinan……Apabila (kursus) dibuat di luar negara kita kumpulkan 150 orang dan penceramahnya dua atau tiga orang di mana belanjanya memang sedikit…..Itulah keuntungan yang akan diperolehi pelajar luar negara (tanpa perlu balik ke Malaysia untuk hadir kursus),"

Aku tidak menafikan kepentingan kursus-kursus perkahwinan sedemikian tetapi soalnya hendaklah mengikut ‘tertib’nya. Mengikut keutamaannya. Kita harus faham bahawa keutamaan yang diberikan tumpuan kepada pelajar ialah untuk lulus dengan cemerlang dalam bidang-bidang yang diceberu oleh mereka dan bukan memikirkan soal kahwin. Aku yakin jikalau ditanyakan keutamaan ibu bapa pelajar di Malaysia, pasti mereka mahukan anak mereka lulus dengan cemerlang dalam bidang-bidang kejuruteraan (Perancis dan German)

Dan yang ‘memeningkan’ kepala kebanyakan takyat Malaysia ialah kenyataan ‘Tuan Pengarah Jawi’ yang mengatakan bahawa, ‘…..Itulah keuntungan yang akan diperolehi pelajar luar negara (tanpa perlu balik ke Malaysia untuk hadir kursus)”. Apakah sampai begitu sekali pentingnya kursus perkahwinan sehinggakan sanggup memanggil pulang pelajar semata-mata untuk mengikuti kursus perkahwinan. Mungkin agaknya pemikiran aku sudah amat jauh menyimpang dari norma sebenar. Mungkin.

Timbul pula pertanyaan lain yang ‘menendang dan menerajang’ benak aku ia itu tentang apakah JAWI dan YAPEIM juga mengadakan kursus perkahwinan di pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia. Apakah seluruh pelajar Islam di UITM atau di Taylors College di Subang Jaya itu telah mengikuti kursus perkahwinan? Dan aku yakin tidak dan mungkin belum lagi diadakan kursus sedemikain. Dan apakah bezanya pelajar Islam di pusat pengajian tinggi tempatan dengan pelajar Islam di Paris atau di Chicago?

Dan yang paling malangnya lagi ialah perbelanjaan untuk menjalankan kursus berkenaan berjumlah ratusan ribu ringgit. Lebih menakjubkan lagi kononnya Kursus program yang dinamakan ‘Simposium Perdana Paris membincangkan Isu Perkahwinan, Kekeluargaan, Keusahwanan dan Pengurusan’. Persoalannya ialah apakah kepakaran YAPEIM dan JAKIM sudah boleh mengendalikan kursus-kursus yang berkaitan dengan keushawanan dan pengurusan dan tidak lagi terbatas dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam sahaja.



Dan dinyatakan juga bahawa tujuan diadakan program berkenaan di Perancis, “ bagi memastikan pelajar Malaysia di negara itu tidak terpengaruh dengan LGBT” Aku tidak pula menafikan tentang kepentingannya untuk disampaikan kepada pelajar-pelajar.

Tetapi soalnya apakah perlu satu program khas yang dinamakan ‘Simposium Perdana Paris’ untuk membincangkan isu berkenaan yang mana para peserta simposium perlu didatangkan dari Malaysia dengan perbelanjaan ratusan ribu ringgit. Apakah pegawai kedutaan di Paris tidak boleh diminta kerjasama untuk memberi penjelasan yang sedemikian. Ataupun mungkin boleh diarahkan Attache Agama Islam dari Jabatan Penuntut Malaysia di London untuk bekerjasama alam hal sedemikian.

Aku merasakan sudah begitu lama kerajaan Malaysia membelanjakan wang yang begitu banyak untuk perkara-perkara yang bukan keutamaan. Sudah berbillion ringgit wang negara digunakan untuk perkara-perkara yang bukan ‘keutamaan’ ( yang semestinya bukan tidak penting). Para menteri dan pegawai tinggi kerajaan haruslah berhemah dan ‘bertimbang rasa’ dalam menetukan keutamaan yang perlu dilaksanakan.

Sudah terlalu lama kita membincangkan isu-isu remeh yang kadang-kadang dirasakan kurang berfaedah dan membuang masa.


abuhassanadam
21 November 2015

London

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails