Tuesday, November 17, 2015

Kedudukan Salleh Man Dalam DUN Dipertikai..


Speaker Dun Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang perlu menentukan kedudukan kerusi Adun Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man Mat Aji. 

Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN-Teluk Bahang) berkata, langkah itu perlu kerana Salleh Man bukan lagi berada dalam gabungan kerajaan Pakatan Harapan yang diwujudkan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, Pas hanya menyertai PR dan berikutan perubahan gabungan baharu yang memasukkan Parti Amanah Negara (Amanah), kedudukan Adun Pas itu sepatutnya sudah diubah. 

"Speaker perlu mengubah kerusi Adun Permatang Pasir dan bukan lagi dalam barisan penyokong kerajaan negeri. "Beliau patut berada bersama kami sebagai pembangkang atau bebas," katanya kepada media di luar Dun, hari ini. 

Menurutnya, kedudukan kerusi Salleh Man dalam Dun sekarang ini agak melucukan kerana terus berada dalam barisan kerajaan walaupun partinya tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan DAP atau Amanah.

"Ini kes pertama dalam Malaysia dan tidak pernah dalam sejarah politik tanah air," katanya.

Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) berkata, kerajaan negeri perlu membuat satu keputusan atau pendirian mengenai kedudukan Salleh Man yang berlainan parti dengan Pakatan Harapan.

"Pakatan Harapan tidak mempunyai hubungan atau kerjasama dengan Pas. Agak pelik apabila Adun itu masih kekal dalam barisan kerajaan negeri sedangkan partinya tidak ada dalam gabungan," katanya.

Tambahnya, kedudukan Salleh Man agak ganjil berbanding dengan wakil Pas yang lain apabila dipecat dari jawatan masing-masing sebaik sahaja terputus hubungan Pas dan DAP.

"Kita dapat lihat sebelum ini apabila pemimpin Pas dipecat dari jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan kerana masih kekal dengan parti Islam itu.

"Sebaliknya pemimpin yang lompat parti (Amanah) masih kekal dengan jawatan masing-masing," katanya.

Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid (BN-Telok Ayer Tawar) pula berkata, Salleh Man perlu membuat keputusan yang selaras dengan pendirian parti jika mendakwa masih setia bersama Pas.

"Memang nampak pelik dengan kenyataan Adun Permatang Pasir itu apabila menyatakan masih bersama Pas tetapi dalam masa yang sama menyokong kerajaan negeri dan kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng," katanya.

Menurutnya, tindakan Pas Kawasan Permatang Pauh memutuskan hubungan politik dengan Salleh Man jelas mercerminkan tindakannya itu tidak dipersetujui akar umbi.

"Memang nampak sukar untuknya bertahan kerana kerusi Dun Permatang Pasir berada dalam Parlimen Permatang Pauh," katanya - Sinar Harian


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails