Saturday, November 14, 2015

Jawatan Menteri Agama Dan JAKIM Perlu Dimansuhkan - Ahli UMNO


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak berperlembagaan dan Putrajaya tidak mempunyai kuasa ke atas hal ehwal agama Islam, kata seorang ahli akar umbi Umno, mengulas perdebatan yang berlangsung ketika ini mengenai kerelevanan pihak berkuasa agama itu.

Bekas setiausaha bahagian Bandar Tun Razak Barisan Nasional (BN) Zaharin Mohd Yasin berkata, atas dasar ini, beliau menyokong saranan anak bekas timbalan perdana menteri, Tawfik Ismail, supaya Jakim dimansuhkan.

Katanya kedudukan "menteri yang bertanggungjawab hal ehwal agama", yang kini dipegang Datuk Seri Jamil Khir Baharom, juga perlu dihapuskan.

"Saya setuju Jakim perlu dimansuhkan. Ia bertentangan dengan Perlembagaan, yang menyatakan agama perlu berada di bawah bidang kuasa tunggal setiap pemerintah negeri.

"Kerajaan pusat tidak perlu terlibat langsung dalam Islam atau pengurusannya. Ia tidak berperlembagaan dan akhirnya, mereka hanya akan mempolitikkan agama. Ia perlu berada di bawah Majlis Raja-Raja sahaja.

"Walaupun sekiranya DAP memerintah Malaysia satu hari nanti, dan ia membubarkan Jakim, tidak mengapa – tindakan itu selaras Perlembagaan," kata Zaharin, yang lebih dikenali dengan nama pena Sang Kelembai.

Beliau berkata, pihak berkuasa bertindak salah apabila memetik Perkara 3(1) daripada Perkara 11(3) Perlembagaan Persekutuan sebagai bukti kewujudan Jakim adalah mengikut undang-undang.

Katanya, Perkara 3(1) yang menyatakan Islam adalah agama persekutuan, hanya bermaksud Islam mesti diutamakan (didahulukan) berbanding agama-agama lain di Malaysia.

Ia tidak bermakna kerajaan persekutuan mempunyai sebarang kuasa ke atas Islam, kata Zaharin, yang menyifatkan dirinya sebagai seorang penganalisis politik pro-BN.

Katanya, Perkara 3(11), yang menyentuh mengenai hak setiap kumpulan agama untuk menguruskan hal ehwal agamanya sendiri, adalah berkaitan hak orang bukan Islam.

"Malah Yang di-Pertuan Agong sekalipun tidak berhak bercakap mengenai Islam bagi pihak seluruh negara, kecuali setiap pemerintah negeri membenarkan beliau berbuat demikian," kata Zaharin, memetik Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun Zaharin berkata, jika Putrajaya berkeras meneruskan kewujudan Jakim, ia perlu diletakkan secara langsung di bawah Majlis Raja-Raja dan tidak dipolitikkan.

"Kerajaan persekutuan seharusnya tidak mempunyai peranan dalam Jakim atau Islam," katanya.

Pada Selasa, Zaharin menulis di Facebook, mempersoalkan bagaimana cadangan Tawfik supaya Jakim dimansuhkan mungkin boleh disalah anggap sebagai menghina Perlembagaan Persekutuan.

"Perlembagaan Persekutuan hanya meletakkan Islam sebagai agama persekutuan. Dan kerajaan persekutuan tidak mempunyai kuasa ke atas hal ehwal Islam.

"Dan Jakim sebenarnya bertentangan dengan Perlembagaan kerana hal ehwal agama Islam adalah di bawah (bidang kuasa) kerajaan negeri," kata Zaharin .

Beliau berkata, atas sebab yang dikatakannya itu, Jakim tidak dapat merangka undang-undang Islam yang seragam untuk seluruh negara.

Tawfik, anak Tun Dr Ismail Abdul Rahman, dikritik kerana membuat cadangan supaya Jakim dimansuhkan dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insider.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh campur tangan dalam kehidupan umat Islam di Malaysia, dan tidak juga boleh menetapkan bagaimana mereka harus mengamalkan kepercayaan mereka.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata, jabatan itu masih sangat relevan lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails