Friday, November 13, 2015

Jamil Khir Jawab Tuduhan Salah Guna Wang Anak Yatim


Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan tuduhan beliau menggunakan wang anak yatim dan orang miskin untuk bersuka ria di Amerika Syarikat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan media lewat petang Jumaat berkata, dakwaan oleh Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW), Akmal Nasir, itu adalah kenyataan jahat berupa fitnah dan menyimpang daripada fakta sebenar.

“Dakwaan kononnya program saya di AS bersifat bersuka-ria menggunakan dana anak yatim adalah fitnah yang besar dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti dan maruah saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Adalah tidak adil hanya mempamerkan dokumen yang menggelirukan dan tidak menggambarkan keseluruhan program melibatkan saya,” katanya.

Beliau menjelaskan,/kunjungan pada 21 hingga 29 Mei 2014 itu bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan agensi-agensi di bawah seliaan YaPEIM dengan kerjasama Kedutan Malaysia di AS dan Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game.

“Melalui strategi penganjuran bersama secara “Strategi Lautan Biru” khususnya yang melibatkan peserta Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (SANTUN) tajaan YaPEIM dan beberapa kumpulan sasaran lain yang berada di seluruh AS dan Kanada, beberapa program besar telah diatur dan dilaksanakan.

“Program-program tersebut melibatkan kursus kepada pelajar yang memfokuskan aspek motivasi kenegaraan dan keusahawanan; simposium perdana perkahwinan kekeluargaan, pengurusan dan isu-isu semasa negara.

“Selain, kursus pra perkahwinan bagi membantu pelajar-pelajar memenuhi syarat perkahwinan JAWI; kelas pengajian untuk isteri-isteri dan kakitangan wanita kedutaan; menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang yang tidak berkemampuan dan pertemuan bersama usahawan-usahawan Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, program dan pertemuan itu melibatkan pelbagai kumpulan sasaran yang diadakan di Indianapolis dan Washington DC, AS.

“Bersempena dengan perasmian Mid West Game di Amerika Syarikat itu juga, beberapa acara sukan telah dianjurkan oleh Education Malaysia (EM) di Indianapolis.

“Ia termasuklah acara golf yang dikelolakan secara bersama dengan pihak Kedutaan Malaysia AS di Washington yang saya turut terlibat bersama Duta dan kakitangan kedutaan” jelasnya.

Katanya lagi, sudah menjadi sebahagian tugas dan tanggungjawab beliau selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi memenuhi jemputan rasmi kedutaan apatah lagi program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah tanggungjawabnya.

Ujarnya, segala perjalanan dan kegiatan rasmi beliau ditanggung oleh agensi berkenaan serta telah mengikuti polisi dan tatacara kewangan agensi yang berkaitan.

“Tiada apa yang perlu disembunyikan kerana segalanya mengikut prosedur dan tatacara yang ditetapkan.

“Saya sentiasa terbuka dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak berkuasa untuk disiasat sekiranya benar wujudnya salah laku yang melibatkan diri saya atau agensi di bawah seliaan saya,” tegasnya.

Sehubungan itu, Jamil Khir menuntut Akmal Nasir dan portal berita The Malaysian Insider menarik semula segala dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

“Jika tidak, saya akan memulakan tindakan saman fitnah dan malu melalui peguam saya kerana tindakan ini benar-benar telah menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya,” katanya lapor Free Malaysia Today.

Persoalannya sekarang ialah ika benar lawatan Jamil Khir ke Amerika Syarikat merupakan tugas rasmi sebagai menteri, mengapakah perbelanjaan tersebut dibiayai YaPEIM?


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails