Tuesday, November 24, 2015

Harta Negara Akan Dilelong Untuk Selamatkan 1MDB – Rafizi


Penjualan loji janakuasa Edra Energy kepada konsortium China-Qatar menunjukkan institusi-institusi kerajaan diheret untuk menutup hutang 1MDB.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perkara itu pernah berlaku apabila aset-aset negara seperti tanah-tanah yang mahal dipindahkan kepada 1MDB.

“Kemudian kita terkejut bila dana dari institusi rakyat seperti Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga terpalit dengan 1MDB.

“Terkini, kita terpaksa pasrah menerima keputusan songsang menggadaikan keselamatan dan kelangsungan pembekalan elektrik negara kepada syarikat asing demi menyelamatkan 1MDB.

“Saya pasti selepas ini lebih banyak harta negara akan dijual dan dilelong kepada syarikat asing demi untuk menutup lubang hutang 1MDB,” katanya menerusi kenyataan media.

Edra Energy, anak syarikat 1MDB, menjual semua asetnya kepada China General Nuclear Power Corp dan anak syarikatnya (CGN Group) secara tunai pada nilai ekuiti RM9.83 bilion, menjadikan perjanjian gabungan dan pembelian terbesar dalam sektor tenaga Asia setakat ini.

Rafizi berkata, dia telah memfailkan usul tergempar bagi menghalang penjualan ekuiti itu tetapi ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.

“Sepanjang perkara ini dibawa, saya kesal kerana tidak ada seorang pun wakil rakyat atau pimpinan UMNO yang bangun mempertahankan hak TNB serta kepentingan strategik negara.

“Kegagalan mereka bersuara mengiyakan pandangan rakyat terbanyak bahawa UMNO tidak lagi peduli dengan kebajikan rakyat dan kepentingan negara,” katanya.

Setiausaha Agung PKR itu berkata, penjualan itu akan membawa risiko kenaikan tarif elektrik, kemasukkan pekerja asing, risiko kestabilan pembekalan elektrik dan menganggu kedudukan strategik Tenaga Nasional Berhad (TNB).



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails