Tuesday, November 24, 2015

Najib Pecat Ketua Wanita UMNO Gopeng Sebab Desak Dia Letak Jawatan..


Mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini memutuskan Ketua Wanita Umno Gopeng Datuk Hamidah Osman dipecat daripada parti.

Pengumuman itu dibuat Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak selepas mesyuarat Majlis Tertinggi di bangunan sementara Parlimen petang ini.

"Antara keputusan kita buat hari ini kita pentingkan perjalanan parti kita dalam semua aspek.

"Kita mahu parti kukuh dan terus dapat keyakinan rakyat, semua golongan yakin Umno parti yang berdiri dalam keadilan dan prinsip serta amalan yang baik dalam parti.

"Oleh itu antara keputusan kita buat, Majlis Tertinggi memutuskan Ketua Wanita Umno Gopeng Datuk Hamidah Osman dipecat sebagai ahli Umno kerana pelanggaran disiplin," kata Najib yang juga perdana menteri.

Hamidah sebelum ini dilaporkan berkata, beliau tidak gentar dipecat daripada Umno ekoran seruannya agar Najib berundur.

Hamidah berkata, kenyataan itu dikeluarkannya kerana prinsipnya yang mendahulukan parti berbanding pemimpin.

"Saya berprinsip setia kepada parti, bukan kepada pemimpin. Saya tegaskan perdana menteri harus berundur dengan meletakkan jawatan.

"Takkan lebih 3 juta orang (ahli Umno) nak kena berkorban demi seorang pemimpin? Sepatutnya seorang pemimpin yang perlu berkorban untuk 3 juta ahli," katanya dipetik berkata kepada Sinar Harian.

Hamidah berkata demikian sewaktu mengulas khabar angin akan dipecat daripada Umno susulan membuat kenyataan itu.

Sebelum ini pada Mei lalu, beliau berkata, Najib perlu menerima realiti isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap Umno terjejas.

Beliau bagaimanapun berharap pemecatan itu tidak akan berlaku kerana ia hanya akan memberi kesan buruk dan memecahbelahkan Umno.

Hamidah merupakan bekas ketua penerangan Wanita Umno dan bekas Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) lapor The Malaysian Insider



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails