Thursday, November 26, 2015

Bekas Pengarah Tekun Didakwa Lulus Pinjaman Kepada Syarikat Keluarga


Bekas pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Tekun Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan hari ini berhadapan 2 pertuduhan menggunakan jawatannya mendapatkan rasuah dengan meluluskan permohonan pinjaman program perintis kepada syarikat yang pemilik dan rakan kongsinya ada hubungan kekeluargaan dengan beliau.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tertuduh yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur pagi ini dituduh melakukan kedua-dua kesalahan di Ibu Pejabat Tekun Nasional di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur pada 31 Mac 2014.

"SPRM menyiasat kes ini susulan maklumat yang diterima sejak pertengahan tahun lepas," kata SPRM dalam kenyataannya hari ini.

Rahim mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Kes bagi pihak SPRM dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim manakala Rahim diwakili peguam Hasnal Rezua Merican.

Mengikut pertuduhan pertama, Rahim sebagai pegawai badan awam dituduh menggunakan jawatannya mendapatkan suapan iaitu meluluskan permohonan pinjaman program perintis berjumlah RM100,000 kepada syarikat Dynamind Enterprise.

Beliau mempunyai kepentingan dengan Khairul Fadly Mahammad, pemilik syarikat Dynamind Enterprise yang juga adalah menantunya.

Mengikut pertuduhan kedua, Rahim dituduh meluluskan permohonan pinjaman program perintis RM100,000, juga kepada Dynamind Enterprise dengan mengetahui anak saudaranya, Khairiyah Khalid merupakan rakan kongsi dalam syarikat itu.

Tertuduh dituduh melakukan kedua-dua kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau minimum RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim membenarkan Rahim diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 16 Disember depan lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails