Sunday, October 25, 2015

Zahid Hamidi perleceh dan kutuk 13 Ketua UMNO Cawangan..


Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menganggap gesaan 13 ketua cawangan Umno supaya Presiden Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan bukan satu perkara besar kerana mereka hanya sebilangan kecil daripada 20,000 pemimpin parti itu di seluruh negara.

"Hanya 13 daripada 20,000 (pemimpin cawangan)" kata naib presiden Umno itu, dalam nada sinis, pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Mengetepikan desakan kumpulan itu, Zahid berkata, beliau masih belum melihat memorandum yang dikatakan dikemukakan 13 pemimpin cawangan terbabit kepada parti.

"Apabila kita lakukannya nanti, kita akan melihatnya secara terperinci," kata timbalan perdana menteri itu selepas merasmikan sambutan Hari Pengguna Negara.

Semalam, 13 ketua Umno cawangan dari Telok Kemang, Negeri Sembilan mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Najib dan menggesa beliau meletakkan jawatan sebagai presiden bagi memulihkan kredibiliti parti itu sebelum pilihan raya umum akan datang.

Di bawah pimpinan ketua Umno cawangan Taman TKK, Kamarul Aznan Habibur Rahman, mereka berkata, tiba masanya parti itu melakukan perubahan dan ia perlu bermula daripada Najib yang juga perdana menteri.

"Kami berpendapat, adalah lebih baik presiden berundur untuk membolehkan Umno tidak menjadi mangsa keadaan dan dihukum pengundi pada pilihan raya yang akan datang," katanya.

Kamarul juga berkata, kumpulan 13 itu tidak takut sekiranya sebarang tindakan diambil terhadap mereka kerana mereka di peringkat akar umbi yang meletakkan kepimpinan parti di kedudukan mereka sekarang.

Sementara itu, Ketua Umno Telok Kemang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilaporkan berkata, 13 ketua cawangan itu tidak menghormati "keputusan bersama" untuk menyokong kepimpinan parti pada mesyuarat bahagian baru-baru ini.

Beliau memberitahu akhbar Sinar Harian, pemimpin peringkat akar umbi itu mempunyai hak untuk bersuara dan mereka sepatutnya berbuat demikian semasa mesyuarat bahagian itu.

"Sepatutnya, jika tidak menyatakan sokongan kepada presiden parti, cakaplah 'tidak' semasa persidangan tempoh hari ketika membentangkan usul sokongan terhadap kepimpinan parti," Isa dipetik sebagai berkata.

Katanya, walaupun itu hak mereka untuk bersuara, cara yang diambil tidak betul.

"Orang macam ini tidak boleh menjadi pemimpin kerana tiada prinsip," beliau dilaporkan berkata.

Isa juga berkata, satu laporan akan dibuat kepada Jawatankuasa Disiplin parti tidak lama lagi berhubung tindakan mereka.

13 cawangan Umno itu ialah Kampung Linggi, Taman Selasih, Taman PD Utama, Taman Dato' Abdul Samad, Sua Betong, Kampung Teluk, Sungai Sekawang, Bukit Tembok, Taman Intan Duyung, Taman TKK, Kampung Pachitan, Bunga Raya dan Taman Poli - The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails