Monday, October 5, 2015

Wartawan veteran cadang Najib diberi laluan selamat sebelum negara jadi seperti Zimbabwe


Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin berkata, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menyatakan apa-apa yang baru apabila menyebut Najib tidak akan berundur kerana beliau takut ditangkap dan didakwa.

Beliau memberi contoh di Zimbabwe, yang presiden Robert Mugabe berkuasa selama 35 tahun – tetapi memyebabkan ekonominya runtuh dan dolar Zimbabwe menjadi mata wang sampah.

Kadir bertanya adakah kita mahu Najib melakukan seperti apa yang dibuat Mugabe dengan terus kekal berkuasa tanpa mengira akibatnya dan membiarkan ekonomi merudum.

"Atau kita berikan beliau laluan yang selamat?" tanya Kadir sambil berkata semakin lama keadaan semasa berterusan, ia akan menjadi lebih teruk.

Kadir berkata, semua orang tahu bahawa Najib akan melakukan apa saja yang beliau mampu untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

Ini termasuk memaparkan wajah berani dalam dan luar negara.

"Tetapi jauh di dalam hatinya beliau tahu sebaik sahaja beliau meletakkan jawatan atau hilang kawalan ke atas Jabatan Peguam Negara, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara, beliau akan ditangkap dan didakwa.

"Kita semua akan terkutuk oleh generasi akan datang jika kita tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan perkara buruk ini. Kita harus bersungguh-sungguh mengambil berat tentang masa kita dan tentang masa depan anak cucu kita," tegas Kadir.

Sambil merujuk kepada Filipina, Kadir berkata negara jiran itu pernah menjadi lebih baik daripada Malaysia.


"Hanya dengan seorang pemimpin yang tidak baik dan isterinya yang merosakkannya. (Ferdinand) Marcos telah lama pergi tetapi Filipina tidak pernah benar-benar pulih daripada apa yang dia dan isterinya lakukan. Mereka musnahkan Filipina.

"Marcos dan isterinya yang boros berbelanja, Imelda tidak akan berlalu pergi pada malam 25 Februari 1986 sekiranya Amerika Syarikat tidak menjamin keselamatan mereka dan Presiden Corazon Aquino tidak memberikan mereka laluan selamat," kata Kadir lagi.

Najib kini berdepan dengan tekanan yang semakin meningkat untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, terutamanya selepas perhimpunan BERSIH pada Ogos lalu.

Ia menyaksikan ratusan ribu orang turut ke jalanan untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka dengan pentadbiran semasa.

Namun begitu, Najib dilihat mahu terus kekal sebagai perdana menteri ~ Malaysiakini


Tulisan A. Kadir Jasin tu bacalah kat ( SINI )

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails