Thursday, October 22, 2015

SPRM beri amaran kepada SRC International sebab spin kenyataannya


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberi amaran kepada SRC International Sdn Bhd (SRC International) supaya jangan mengaitkan nama badan penguatkuasaan rasuah itu dalam kenyataan media mereka kerana tindakan itu boleh mengelirukan orang ramai. 

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata, demikian menafikan kenyataan media SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung isu draf kertas pertuduhan dan gambar rajah aliran wang.

SRC International dalam kenyataannya semalam menggesa Jabatan Peguam Negara menjalankan siasatan penuh terhadap dakwaan kertas pertuduhan yang disiarkan Sarawak Report dan gambar rajah aliran wang siaran MalaysiaKini.

Dalam kenyataan itu, SRC International meminta pihak bertanggungjawab yang mengada-adakan kertas pertuduhan dan gambar rajah itu dikenal pasti, memandangkan SPRM menafikan kesahihannya pada 3 Ogos, 2015.

Azam berkata, SPRM menafikan kenyataan SRC International itu kerana dalam kenyataan media bertarikh 3 Ogos, 2015 itu, suruhanjaya itu tidak mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan isu draf kertas pertuduhan dan gambar rajah aliran wang.

“SPRM mahu mengingatkan SRC International atau mana-mana pihak jangan sama sekali mengaitkan nama SPRM dalam kenyataan media mereka kerana tindakan sedemikian boleh mengelirukan orang ramai.

“SPRM ingin memaklumkan sekali lagi kes SRC International masih lagi berjalan,” katanya. 

Sehubungan itu, SPRM meminta kerjasama SRC International membantu mereka melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan.

Azam berkata, jika Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Suboh Md Yassin, yang diperlukan SPRM untuk menyempurnakan siasatan masih lagi berkhidmat sebagai pengarah SRC International, adalah wajar bagi syarikat itu mengarahkan kedua-duanya hadir di SPRM untuk memberi keterangan lapor Malaysiakini


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails