Wednesday, October 14, 2015

Siapa sebenarnya sabotaj sistem perbankan negara soal Muhyiddin


Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan pendiriannya yang sama sekali tidak berubah tentang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Beliau merujuk beberapa kenyataan yang dibuat oleh segelintir pihak yang mendakwa bahawa beliau telah bercanggah dengan pendiriannya sendiri yang menyokong SOSMA semasa di dalam kabinet dan ketika Rang Undang-Undang (RUU) SOSMA dibentangkan di Parlimen.

“Pendirian saya tidak pernah berubah. Saya menyokong SOSMA untuk menangani kesalahan-kesalahan keselamatan yang menggugat keamanan dan ketenteraman awam.

“Yang saya tidak bersetuju ialah penyalahgunaan SOSMA yang bercanggah dengan tujuan asal akta ini digubal sepertimana yang berlaku dalam kes penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang,” kata Muhyiddin dalam kenyatan itu.

Menurut beliau, tindakan mereka membuat laporan mengenai dakwaan salah laku syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada pihak-pihak berkuasa di dalam dan luar negara tidaklah boleh dikatakan sebagai satu tindakan sabotaj di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, iaitu satu kesalahan keselamatan yang membolehkan penggunaan SOSMA.

Menyifatkan tindakan itu sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara yang prihatin, Muhyiddin menegaskan bahawa pendiriannya adalah selari dengan jaminan kerajaan sewaktu akta itu digubal.

Akta itu pada awalnya menjamin ‘tidak akan disalah gunakan untuk tujan-tujuan lain, terutamanya yang bermotifkan politik termasuk mendiamkan pengkritik dan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara dan memberikan pandangan’.

“Adakah 1MDB terlalu kebal sehinggakan pihak yang mengkritik dan membuat laporan terhadapnya didakwa di mahkamah? Seorang yang berfikiran waras pastinya akan bertanya siapakah yang sebenarnya mensabotaj sistem perbankan dan perkhidmatan kewangan negara?

“Orang yang membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya menyiasat dakwaan salah laku 1MDB atau orang yang mengakibatkan berbillion ringgit wang rakyat dalam 1MDB lesap? Apakah pemimpin UMNO harus berdiam diri dalam hal ini dan bersekongkol dengan para petualang?” soal beliau.
Khairuddin dan Chang didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lima lokasi - pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Peranchis di Paris, Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom, pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai Polis WaiChan, Hong Kong, dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura - antara 28 Jun hingga 26 Ogos tahun ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun, jika sabit kesalahan lapor Astro AWANI


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails