Wednesday, October 7, 2015

Sanusi Junid kata kalau puji Mahathir tak dapat projek?


Tindakan pemimpin pembangkang untuk menggulingkan kerajaan melalui undi tidak percaya di Parlimen dan perhimpunan jalanan didakwa lebih selamat berbanding usaha untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada jawatan Perdana Menteri.

Demikian kata pemimpin veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid sambil menyifatkan beliau kini dalam bahaya kerana menjadi penyokong kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik dan cuba menjatuhkan pentadbiran Najib.

“Sekarang ini, Mat (Mohamad) Sabu lebih selamat duduk di Malaysia daripada saya, pasal Mat Sabu dia nak guling kerajaan, itu OK.

“Yang tak boleh, saya ini orang Tun Mahathir...Tun Mahathir pula nak guling Perdana Menteri, itu salah.

“Mengguling kerajaan OK, tak boleh tangkap, jadi itulah masalah kita,” katanya pada program Bicara Minda Sinar Harian yang bertajuk: Perpaduan: Kenapa kita masih keliru di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sanusi juga mendakwa mana-mana pihak yang menyokong termasuk memuji tindakan Dr Mahathir itu boleh kehilangan projek daripada kerajaan.

“Sekarang ini, kita punya pemimpin hampir semua mencemarkan, (bila) kita asyik puji Tunku Abdul Rahman, orang pula serang dia, (bila) kita nak puji Tun Razak, takut anak dia untung, nak puji Tun Hussein Onn, takut anak dia untung.

“Jadi nak puji siapa? Sekarang nak puji Dr Mahathir, ada orang kata nanti tak dapat kontrak,” ujarnya.

Sanusi berkata lagi, bangsa Melayu tidak akan selamat jika dakwaan mengatakan pakatan pembangkang membeli beliau dan Dr Mahathir itu benar.

“Kalau saya pembangkang boleh beli, kalau cina DAP boleh beli saya, saya ingat tiada Melayu boleh selamat, saya yakin sangat (saya masih) sayangkan Melayu ini.

“Kalau Dr Mahathir nak ikut pembangkang, saya ingat orang yang bercakap itu kena pergi periksa otak dia dengan doktor, sebab dia tak kenal (Dr Mahathir),” katanya lagi lapor Sinar Harian


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails