Sunday, October 11, 2015

PAS Perak sebulat suara desak Nizar, Mujahid letak jawatan


Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Perak hari ini sebulat suara mendesak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk Mujahid Yusof Rawa yang kini berjuang atas tiket Parti Amanah Negara (Amanah) meletak jawatan mereka dalam PAS.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata Mujahid yang merupakan ahli Parlimen Parit Buntar diisytihar sebagai naib pengerusi Amanah manakala Nizar iaitu ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering sebagai ahli jawatankuasa Amanah pusat dan timbalan pengerusi Amanah Perak.

Beliau berkata mengikut perlembagaan PAS, keahlian seseorang ahli parti akan terhenti dan perlu mengosongkan atau meletak jawatan sebagai Adun atau ahli Parlimen yang dimenangi sekiranya mereka menyertai parti lain, isytihar keluar parti dan hilang keahlian kerana dipecat.

"Mereka ini (Mujahid dan Nizar) bertanding pada pilihan raya umum ke-13 atas tiket PAS dan menandatangani perjanjian dengan Badan Perhubungan PAS Perak dan pusat. Sekiranya mereka melompat parti atau keluar daripada parti, mereka hendaklah mengosongkan atau meletak jawatan sebagai Adun atau ahli Parlimen," katanya dalam sidang media di Ipoh hari ini.

Dalam kontrak perjanjian atau baiah mereka bersumpah dengan nama Allah akan meletak jawatan sekiranya menyertai parti lain. Di Kelantan pula ada tambahan iaitu sekiranya mereka berbuat demikian, sumpah baiah talak 3 ke atas isteri mereka terpakai secara automatik, katanya.

Razman menyifatkan tindakan Mujahid dan Nizar adalah tidak amanah dan tidak berintegriti apabila memegang sesuatu jawatan yang diamanahkan.

"Pendirian parti (PAS) kini ialah mengarahkan seluruh ahli tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang dianjurkan parti Amanah," katanya.

Ditanya sama ada PAS Perak memanggil kedua-dua mereka untuk memberi keterangan, Razman berkata perkara itu tidak perlu kerana secara terang mereka menyerang parti secara terbuka.

Mengenai kedudukan Nizar sebagai ketua pembangkang Perak, Razman berkata beliau masih lagi diiktiraf memegang jawatan itu kerana ia di luar bidang kuasa PAS dan bergantung kepada majoriti sokongan Adun.

"Selagi tiada cadangan dari mana-mana parti untuk gugurkan dia sebagai ketua pembangkang, maka dia masih diiktiraf memegang jawatan itu. Buat masa ini PAS Perak belum bangkitkan sama ada menyokong Nizar sebagai ketua pembangkang atau sebaliknya," katanya.

Pada 31 Ogos lepas, Pengerusi Gerakan Harapan Baru Mohamad Sabu mengumumkan parti Amanah digunakan sebagai nama rasmi wadah politiknya.

Mat Sabu turut mengumumkan jawatankuasa Amanah, yang diketuai beliau sebagai pengerusinya, Ahmad Awang sebagai penasihat umum, bekas naib presiden PAS Salahudin Ayub sebagai timbalan pengerusi, Mujahid sebagai naib pengerusi, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud sebagai ketua wanita, dan Mohd Sany Hamzan sebagai ketua pemuda lapor Bernama


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails