Sunday, October 11, 2015

'Hantu dan 'jin' DAP mungkin telah menumpang dalam badan Pemuda MCA - Jamal


Kenyataan-kenyataan daripada Pemuda MCA kini seolah-olah mereka 'dirasuk' dengan jin DAP.

Itu disifatkan oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunos merujuk kepada komen sayap pemuda parti komponen Barisan Nasional itu berhubung isu 1MDB.

"Mereka telah mempertikaikan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri. Kenyataan mereka ini seolah-olah mereka langsung tidak membaca atau meneliti kenyataan-kenyataan daripada pihak kerajaan yang telah banyak kali menjelaskan dan menerangkan tentang isu 1MDB ini," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jamal yang juga Pengerusi NGO Selangor memberitahu, pimpinan Pemuda MCA nampaknya lebih terpengaruh dengan dakyah pihak pembangkang yang memutarbelit isu berkenaan.

"Saya tidak tahu mengapa perkara sebegini boleh terjadi. Adakah pihak kepimpinan MCA yang ada dalam kalangan mereka merupakan menteri dan timbalan menteri tidak menerangkan mengenai status dan keadaan sebenar atau mereka enggan bercerita perkara yang sebenar diperingkat akar umbi," ujarnya lagi.

Sebagai parti komponen dalam BN, Jamal berkata, mereka seharusnya selari dan sepakat bukan menjadi "gunting dalam lipatan".

"Pada pengamatan saya, mungkin juga Pemuda MCA ini telah dirasuk oleh hantu-hantu jin DAP yang telah menguasai mereka sehingga mereka tidak boleh menerima jawapan-jawapan dan penjelasan daripada Kerajaan.

"'Hantu dan 'jin' DAP ini mungkin juga telah menumpang dalam badan mereka sekian lama dan sering kali membisikkan keraguan kepada kerajaan," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pimpinan Pemuda MCA supaya 'berubat' pada kadar segera.

"Saya berharap, agar Pemuda MCA dan kepimpinan MCA mengambil berat perkara ini demi kebaikan parti," katanya.--MalaysiaGazette


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails