Saturday, October 10, 2015

Gara-gara desak Najib letak jawatan, konsert Soo Wincci berdepan masaalah..


Soo Wincci akan tetap mengadakan Konsert Inwinccible pada penghujung bulan ini walaupun penaja menarik diri di saat-saat akhir dan menyebabkan penganjur berdepan masalah kewangan.

Perkara itu disahkan pengurus peyanyi berkenaan, Siew Yee hari ini.

Menurut Siew, punca utama penganjur membatalkan tajaan konsert Soo adalah disebabkan klip video dimuat naik artis itu pada bulan lalu yang menggesa Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

“Ada beberapa penaja yang menarik diri kerana apa yang dimuat naik oleh Soo. Tajaan itu sepatutnya menampung kos yang perlu digunakan untuk persiapan konsert,” katanya.

Akhir Ogos lalu Soo memuat naik mesej video kepada kepada seluruh rakyat Malaysia - termasuk perdana menteri.

Mesej Soo itu menyatakan hasratnya melihat Najib berundur daripada jawatannya dan memberi ruang untuk kebebasan rakyat Malaysia.

Klip sepanjang kira-kira lapan minit itu dibuat bagi menunjukkan sokongannya kepada himpunan BERSIH 4 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos.

Dalam rakaman itu juga, Soo menyatakan dia sanggup mengambil risiko ke atas tindakannya itu termasuk disenaraihitamkan.

Janji tempuh dugaan bersama

Selebriti berusia 29 tahun itu adalah artis kelahiran Malaysia tetapi kini meluaskan kariernya di Taiwan.

Selain menyanyi dan menjadi model Soo dikenali sebagai pencipta lagu. Dia adalah pemenang pertandingan ratu cantik dan mewakili Malaysia dalam Miss World 2008.

Menurut Siew, walaupun semua tiket konsert habis dijual nanti, penganjur tetap menanggung kerugian besar akibat tiada tajaan.

Katanya nilai kerugian itu dianggar sebanyak RM100,000.

“Ia disebabkan bajet produksi yang tinggi, seperti sewaan lokasi dan kepakaran teknikal. Dengan penaja menarik diri, kerugiaan yang ditanggung dijangka dua atau tiga kali ganda,” katanya.

Konsert Inwinccible berkenaan sebenarnya adalah yang julung kali diadakan Soo. Ia akan berlangsung pada 31 Oktober ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Siew mengakui banyak perkara yang dipelajari daripada insiden berkenaan.

“Dalam hal sebegini, akan berlaku kerugian tetapi di samping itu kita peroleh sesuatu di sebaliknya.

“Kami menerima banyak email dan panggilan daripada pihak tertentu yang memberitahu akan membantu kami menempuh dugaan ini,” katanya.

Siew juga berterima kasih kepada segelintir pihak yang masih menyokong perjuangan Soo.

“Kami sejujurnya berterima kasih dengan pihak yang berkenaan dan akan melakukan yang terbaik untuk membalas jasa mereka.

"Orang ramai diharap hadir menyaksikan sendiri konsert itu yang akan dijalankan seperti biasa bahkan Soo berjanji memberikan persembahan yang terbaik," katanya lapor Malaysiakini


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails