Monday, October 5, 2015

Bila pemimpin sibuk berpolitik.. Inilah jadinya..


Selepas hilang tempat tinggal akibat banjir besar yang melanda Kelantan, sebahagian besarnya pedalaman pada penghujung Disember lalu, penduduk Kampung Limau Kasturi di Gua Musang tidak mahu mengambil sebarang risiko dan sedang membina rakit sebagai persedian menghadapi hujan lebat susulan angin monsun timur laut yang dijangka membadai negeri itu hujung tahun ini.

Mereka mula mengumpul tong plastik, kayu dan bahan lain untuk dijadikan rakit yang boleh digunakan jika banjir besar melanda negeri itu sekali lagi tahun ini.

"Kami sudah mula mengumpul barang-barang ini untuk membina rakit," kata penduduk kampung Fatimah Mat sambil menunjukkan tong berwarna biru yang disusun di satu kawasan di kediamannya.

Banjir tahun lepas adalah yang paling teruk dalam sejarah hingga menyebabkan lebih 100,000 orang di Kelantan terjejas. Ini termasuk 1,821 keluarga yang hilang tempat tinggal selepas rumah mereka dihanyutkan air banjir.

Fatimah, 47, dan beberapa jirannya ketika ditemui The Malaysian Insider di kampung mereka yang terletak kira-kira 40km dari Gua Musang berkata, mereka tidak menyangka akan mengalami banjir sebegitu teruk seperti itu.

"Memang pernah berlaku banjir sebelum ini tetapi masa itu air hanya berada pada paras lutut kami saja.


“Kejadian banjir besar pada Disember lepas adalah kali pertama sehingga menenggelamkan kampung kami serta menghanyutkan rumah penduduk kampung," kata Alias Mohamad, 64.

"Jiran kami, juga sudah mula membina rakit untuk mengangkut barang-barang dan penduduk ke kawasan yang lebih tinggi sekiranya berlaku lagi tahun ini.

“Jika kita hanya bergantung kepada polis, kerajaan atau mana-mana pihak berkuasa lain, matilah kita."

Katanya, tahun lepas penduduk kampung yang membantu menyelamatkan satu sama lain, berpindah ke kawasan lebih tinggi, apabila air semakin naik di kawasan itu.

"Kampung kami berada terlalu dalam. Bantuan luar hanya akan sampai beberapa hari kemudian."

Fatimah berkata, penduduk kampung terpaksa mengambil inisiatif sendiri apabila kerajaan negeri masih belum mengambil sebarang langkah persiapan menghadapi banjir akhir tahun ini.

"Tiada siapa yang memberitahu kami apa yang perlu dilakukan jika ia (banjir) datang lagi dan tiada siapa datang menerangkan mengenai langkah kontingensi yang perlu diambil bagi memastikan ia tidak berlaku lagi di sini," katanya.

Seperti kebanyakan keluarga lain di kampung itu, Fatimah kini menetap di rumah sementara, selepas lebih 4 bulan tinggal di dalam khemah selepas banjir itu.

Tetapi tidak seperti orang yang lain, Fatimah dan suaminya membina rumah mereka sendiri, menggunakan bahan-bahan daripada rumah lama mereka, selepas beberapa bulan tinggal berkhemah itu.

"Kami penat hidup dalam khemah. Kami tinggal dalam khemah sampai ia koyak rabak akibat hujan dan angin," katanya.

Mereka dijanjikan rumah baharu oleh kerajaan persekutuan dan negeri namun tiada sebarang usaha digerakkan setakat ini.

"Mereka (kerajaan negeri) kerap datang ke sini dan memberitahu kami rumah akan siap. Yang terbaru adalah pada sebelum bulan puasa. Mereka kata, kami akan dapat rumah baharu sebelum Hari Raya.

“Kedua-dua kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan sama saja," kata Fatimah yang sudah berputus harap dengan janji yang ditaburkan kerjaaan.

"Sudah hampir setahun tetapi apa yang boleh kami buat?"

Alias kini tinggal di rumah sementara yang dibina April lalu oleh Malaysian Relief Agency dengan kerjasama Akademi Sukarelawan Briged Bakti Malaysia.

Strukturnya diperbuat daripada papan lapis nipis dan terletak hanya 50 meter dari rumah lama yang mana hanya tinggal tangga simennya sahaja.

"Kami tidak menyangka akan tinggal lama dalam khemah itu dan rumah sementara ini. Mereka sering menabur janji tetapi tiada apa-apa pun setakat ini," kata isteri Alias, Cik Som Cik Ali, 58.

Cik Som berkata beliau bersyukur dapat tinggal di dalam khemah dan rumah sementara itu.

"Saya bersyukur dengan rumah ini tetapi apabila hujan, kita agak takut."


Ibu Alias, Jahari Sulaiman tinggal di rumah sementara lain yang terletak tidak berapa jauh dari rumah anaknya.

Balu berusia 85 tahun itu menitiskan air mata ketika menceritakan pengalaman tinggal dalam khemah untuk beberapa bulan.

"Saya tidak pernah melihat perkara ini berlaku. Rumah saya hanyut dan saya masih belum melihat rumah baru yang dijanjikan kepada kami," kata Jahari yang tinggal bersendirian.

"Apa pun, saya bersyukur kerana kumpulan ini sudah mendirikan rumah sebagai tempat saya berlindung. Saya tidak boleh bayangkan apa yang akan berlaku jika saya masih tinggal di dalam kemah."

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Persekutuan Kampung Limau Kasturi Mohamad Sokani Mat berkata beliau tidak menjangkakan rumah baharu akan dibina pada bila-bila masa tidak lama lagi kerana terdapat pertikaian berhubung tapaknya.

"Tanah yang pada mulanya mereka dapat, didapati tenggelam. Oleh itu, mereka kini sedang mencari tapak yang baharu," katanya ketika ditemui di rumahnya di kampung terbabit.

"Saya fikir ia akan mengambil masa lebih setahun sebelum kita dapat menyiapkan rumah baharu."



Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, Datuk Nozula Mat Diah berkata, kerajaan negeri sudah berjanji untuk memberikan rumah baharu kepada 113 keluarga di Limau Kasturi.

"Tetapi sehingga kini, mereka masih belum menunjukkan sebarang usaha untuk melakukan sesuatu.

“Kerajaan persekutuan berkata, mereka boleh membinanya, tetapi kerajaan negeri tidak membenarkan mereka berbuat demikian," kata ahli Umno itu.

"Inilah masalahnya. Jadi, kalau pun Putrajaya mahu (membina rumah baharu), ia tidak dibenarkan berbuat demikian oleh kerajaan negeri Kelantan."

Nozula berkata beliau mengesyaki kelewatan dalam membina rumah baru kerana kerajaan negeri sudah kehabisan dana untuk berbuat demikian.

"Saya katakan kepada mereka (kerajaan negeri), benarkan kerajaan persekutuan melakukannya. Berulang kali. Tetapi mereka kata, jabatan agama negeri bertanggungjawab ke atas perkara ini.

"Kami rasa mereka tidak ada duit, tetapi mereka masih berkeras untuk melakukannya sendiri," katanya lapor The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails