Saturday, September 5, 2015

Yang Kritik Najib Itu Pakar, Bukannya Orang Sembarangan...


Pemerhati politik berpendapat kritikan yang dilemparkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC) yang berlangsung selama tiga hari di Putrajaya itu datang daripada pakar bukan tuduhan melulu.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata apa yang lahir dari mulut pengkritik adalah berdasarkan perspektif mereka melalui maklumat yang diterima.

“Mereka ini orang pakar yang berwibawa dalam bidang dan tugas masing-masing. Saya percaya mereka mengkritik dengan asas, penuh tanggungjawab bukan secara melulu.

“Itu sudut pandangan dan perspektif mereka berdasarkan perkembangan dan maklumat yang mereka tahu tentang perkembangan melibatkan perdana menteri dengan 1MDB,” katanya kepada Sinar Online ketika diminta mengulas mengenai IACC yang menjadi pentas mengkritik pemimpin nombor satu negara.

Najib menjadi sasaran perwakilan-perwakilan asing dan tempatan sepanjang persidangan itu berlangsung sejak Rabu hingga semalam berkaitan dengan skandal 1MDB.

Menurutnya, apa yang berlaku di pentas IACC adalah bersesuaian dengan tujuan persidangan itu dianjurkan.

“Mereka mempunyai hak dan tanggungjawab untuk memberi pandangan sesuai dengan platform yang ada. Persidangan itu adalah platform untuk memberi pandangan dan kritikan yang membina...yang konstruktif tentang bagaimana untuk menangani isu dan masalah rasuah, itu sesuai dengan objektif persidangan itu.

“Mereka ambil inisiatif itu dan kebetulan IACC itu diadakan di Malaysia maka mereka ambil contoh Malaysia. Mungkin ada yang menyifatkannya sebagai campur tangan tapi platform apa lagi mereka nak gunakan selain persidangan itu yang sesuai dengan tujuan asal diadakan majlis itu?,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat pemimpin negara berhak menangkis segala kritikan yang dilemparkan namun ia mesti berasaskan fakta yang konkrit bukan sekadar penafian.

“Bagaimana kita memberi reaksi itu terpulang kepada kita. Tapi pemimpin negara berhak untuk menangkis balik. Cuma tangkisan itu hendaklah berdasarkan data dan fakta yang konkrit bukan sekadar membuat sesuatu kenyataan umum atau penafian dengan mengatakan bahawa kenyataan yang disampaikan sebagai tidak adil atau tidak mempunyai maklumat yang mencukupi.

“Sebagai rakyat kena lihat (kritikan) itu dengan pemikiran terbuka walaupun mungkin kritikan itu agak pedas tetapi saya lihat mereka mengeluarkan kenyataan itu ‘without fear or favour’. Mereka juga mempunyai integriti, bercakap berdasarkan fakta, bukannya dengan emosi dan kenyataan melulu,” katanya lapor Sinar Harian


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails