Tuesday, September 1, 2015

Selepas Saman Najib, Wanita UMNO Langkawi Dipecat


Ahli Wanita Umno Bahagian Langkawi Anina Saadudin yang memfailkan saman terhadap presiden parti Datuk Seri Najib Razak minggu lepas akhirnya dipecat daripada parti.

Dalam surat pemecatan yang sedang viral di media sosial hari ini, beliau dipecat daripada parti mengikut Fasal 20.7 Perlembagaan Umno kerana membawa hal parti ke mahkamah.

"Tiada komen setakat ini," kata Anina dalam respon segera selepas dihubungi The Malaysian Insider bagi mengesahkan mengenai surat pemecatan tersebut.

Surat yang dihantar ke Bahagian Umno Langkawi itu ditandatangani setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

The Malaysian Insider difahamkan, Anina akan memanggil satu sidang akhbar pada esok bagi menjelaskan mengenainya.

Anina pada Jumaat lepas memfailkan saman terhadap Najib meminta beliau bertanggungjawab atas kronologi peristiwa yang melibatkan aliran wang RM2.6 bilion yang berakhir dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu.

Terdahulu, Anina pada mesyuarat agung tahunan bahagian Langkawi dalam sebuah video yang tersebar melepaskan kemarahannya terhadap Najib, menggunakan perkataan kesat, mendakwa perdana menteri itu berbohong dengan mengakui semua 3 juta ahli Umno menyokong beliau.


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails