Monday, September 7, 2015

Perhimpunan ‘Baju Merah’ Tidak Dapat Kebenaran Polis


Polis tidak akan membenarkan Perhimpunan Rakyat Bersatu' yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada 16 September ini atas implikasi keselamatan, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Noor Rashid berkata setakat ini pihak penganjur masih belum membuat sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan berkenaan yang dirancang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia.

"Sekiranya perhimpunan ini diteruskan juga, polis akan mengawal dan memastikan mereka tidak mengganggu dan merosakkan harta benda atau orang yang menjalankan aktiviti harian mereka di tempat tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang, di George Town, hari ini.
Noor Rashid menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' sempena sambutan ulang tahun ke-77 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.

Noor Rashid berkata, sebarang perhimpunan yang ingin dianjurkan seharusnya mendapat keizinan pemilik premis kawasan berkenaan dan kebenaran polis.

Sekiranya perhimpunan itu gagal mendapat kebenaran polis, maka perhimpunan itu akan menjadi perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana individu mengambil bahagian, katanya.

"Kita akan mengawal perhimpunan tersebut dan selepas perhimpunan, kita akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya menambah sebanyak 2,000 anggota polis akan digerakkan untuk mengawal perhimpunan berkenaan.

Media melaporkan 'Himpunan Rakyat Bersatu' dijadual berlangsung pada 16 September dan 10 Oktober di Bukit Bintang dan Jalan Petaling.

Perhimpunan itu diadakan sebagai tindak balas dan protes terhadap perhimpunan Bersih 4 yang dikatakan mengganggu perniagaan di kawasan tumpuan orang Melayu di ibu kota lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails