Saturday, September 12, 2015

‘Perhimpunan baju merah’ jadikan Melayu bahan ketawa, kata Bekas Menteri


Matlamat "perhimpunan baju merah" pada 16 September ini adalah kebudak-budakan dan hanya akan menjadikan orang Melayu sebagai bahan ketawa, kata bekas menteri Umno Datuk Zaid Ibrahim hari ini.

Menulis dalam blognya, Zaid berkata perhimpunan itu seharusnya menjadikan desakan kepada peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib sebagai keutamaan jika ia benar-benar mahu menebus maruah bangsa Melayu.

Tetapi sebaliknya, perhimpunan itu hanya berhasrat memberi amaran kepada orang Cina supaya tidak bersikap kurang ajar berikutan perhimpunan Bersih 4 dan bertujuan menunjukkan kekuatan orang Melayu dengan berkumpul dan menjerit di jalanan, tulisnya.

"Kedua-dua alasan untuk perhimpunan baju merah ini kebudak-budakan dan keanak-anakan serta hanya akan membuat orang Melayu menjadi bahan ketawa masyarakat," tulisnya di bawah entri bertajuk "Perhimpunan Baju Merah".

Beliau berkata, jika mereka melemparkan kutukan, mengeluarkan kata-kata kesat dan mengugut kaum Cina, mereka hanya akan menunjukkan kepada dunia betapa ceteknya pemikiran mereka.

Bekas menteri undang-undang itu mencadangkan supaya penganjur perhimpunan sebaliknya memberi tumpuan kepada 5 tuntutan tertentu yang akan menarik sokongan masyarakat Melayu yang lebih besar dan juga kaum lain.

"Permintaan pertama sepatutnya mendesak Najib untuk berundur. Tiada apa yang akan menebus maruah Melayu selain daripada meminta PM untuk meletak jawatan. Biarkan timbalannya mengambil alih.

"Jika ini dilakukan, rakyat Malaysia akan mengingati kumpulan baju merah ini sebagai pejuang yang mempertahankan maruah dan integriti Melayu," kata Zaid.

Beliau berkata, peserta perhimpunan juga perlu menuntut supaya Putrajaya menarik balik larangan ke luar negara yang dikenakan ke atas pelajar Melayu yang gagal membayar pinjaman mereka.

Mereka perlu menuntut kerajaan menyelesaikan perkara itu melalui tindakan undang-undang, bukan dengan mengenakan sekatan perjalanan, kata Zaid.

Beliau berkata larangan itu memalukan kerana ramai dalam senarai hitam itu mengelak membayar hutang kerana tidak mampu berbuat demikian.

Matlamat ke-3 yang sepatutnya diperjuangkan ialah menuntut supaya peratusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dikurangkan bagi menurunkan harga barang, kata Zaid.

"Sukar untuk mempertahankan maruah dan kehormatan anda apabila harga bahan makanan di luar kemampuan dan anda tidak mampu memenuhi semua keperluan anak-anak."

Katanya, mereka perlu menggesa kerajaan supaya bersiap sedia dengan musim tengkujuh yang bakal tiba tidak lama lagi berikutan kurangnya persediaan menghadapi bencana banjir pada tahun lepas "memalukan orang Melayu".

Mereka juga mesti menuntut kerajaan menyelesaikan pembinaan semula rumah yang terjejas akibat banjir seperti yang dijanjikan, memandangkan penduduk di kawasan itu bakal mengalami gelombang baharu banjir dalam tempoh 3 bulan lagi.

"Akhir sekali, peserta perhimpunan baju merah mesti menggesa kerajaan menyediakan kereta api berkelajuan tinggi dari pantai timur ke barat daripada membuang berbilion ringgit untuk membina keretapi berkenaan ke Singapura.

"Perhimpunan baju merah" atau Himpunan Maruah Melayu itu dikatakan diadakan oleh kumpulan hak Melayu bagi menentang perhimpunan Bersih 4 bulan lepas, yang antara lain mendesak peletakan jawatan Najib berhubung dakwaan skandal kewangan.

Perhimpunan ini juga diadakan untuk menyatakan kemarahan terhadap peserta Bersih 4 yang memijak gambar Najib dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Penyokong merancang untuk berkumpul di Jalan Bukit Bintang dan berarak ke Padang Merbok, selama 12 jam bemula tengah hari 16 September iaitu Hari Malaysia.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau menghormati hak untuk berhimpun seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi menambah isu keselamatan dan ketenteraman awam perlu diambil kira ~ The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails