Wednesday, September 30, 2015

MCA dan GERAKAN minta DAP bertaubat


Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan MCA mahu parti DAP bertaubat dan meminta maaf kerana menjadi dalang mencetuskan api perkauman semasa perhimpunan BERSIH 4.0.

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng berkata, perhimpunan itu jelas dirampas sepenuhnya oleh DAP dengan niat buruk mencapai agenda politik mereka melalui kuasa demonstrasi jalanan.

"Demonstrasi BERSIH 1, 2 dan 3 sebelum ini tidak menerima apa-apa tindak balas politik kerana sentimen perkauman dan keagamaan tidak diusik. Dalam BERSIH 4.0 yang didalangi DAP para penyokongnya memijak gambar pemimpin Melayu (Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

"Selain itu, mereka (penyokong DAP) buat istiadat pengebumian, memukul gambar guna penyapu dan ia menyinggung emosi orang Melayu," ujarnya pada sidang media bersama Ketua Biro Agama MCA, Datuk Ti Lian Ker di sini hari ini.

Menurut Teck Meng yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, tindakan itu mencetuskan tindak balas berbau perkauman iaitu perhimpunan baju merah pada 16 September lalu.

Malah ada peserta dalam Himpunan Melayu Bersatu itu memegang sepanduk supaya menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang padanya juga akan mencetuskan rasa kurang senang kaum Cina.

"Kami juga ingin menegur pelampau demonstrasi baju merah kerana ada dalam kalangan mereka juga membuat perkara yang berbau perkauman seperti kes Petaling Street," jelasnya.

Dalam pada itu, Lian Ker memuji tindakan Polis Diraja Malaysia kerana bertindak tegas ke atas dalang kedua-dua perhimpunan sama ada BERSIH 4.0 dan baju merah.

"Kami ingin mengingatkan penyokong DAP dan baju merah supaya menghentikan tindakan negatif mereka dengan segera dan pihak berkuasa perlu ambil tindakan tegas," katanya.--MalaysiaGazette


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails