Sunday, September 27, 2015

Jamal buat kerja sia-sia kata Ahli UMNO


Tidak semua ahli Umno setuju dengan Datuk Jamal Md Yunos dan perhimpunan baju merahnya. Sesetengah daripada mereka mengecam Jamal yang berterusan melakukan provokasi menyerang peniaga Jalan Petaling, menyifatkannya satu tindakan oportunis yang hanya menyebabkan imej Umno tercemar.

Beberapa ahli akar umbi membidas tindak tanduk Jamal yang dianggap bersikap pentingkan diri sendiri untuk meraih sokongan politik (political milage) dengan menggunakan isu sensasi.

"Jamal ini saja menangguk di air keruh. Dia menggunakan isu sensasi untuk 'political milage' dia," kata ahli Umno Cawangan Keliang, Hulu Selangor Moohamad Faizal Abdul Raub kepada The Malaysian Insider.

Faizal berkata ini bukan kali pertama ketua Umno Bahagian Sungai Besar tersebut cuba menjadi hero, malah sebelum ini juga pernah lantang mengkritik Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menggesa beliau melepaskan jawatan timbalan presiden parti.

"Sebelum ini, kes Muhyiddin, dia juga berlagak hero. Sekarang isu baju merah pula," katanya.

Muhyiddin, yang sebelum ini timbalan perdana menteri, digugurkan daripada Kabinet pada Julai lalu kerana secara terbuka mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta sumbangan politik AS$700 juta (RM2.67 bilion) yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Semasa himpunan baju merah 16 September lalu, Faizal, 35, tidak menyertainya kerana melihat penganjuran itu lebih bertujuan mempertahankan Najib, berbanding maruah orang Melayu.

"Kalau nak Umno dihormati masyarakat Malaysia, pemimpin Umno perlu dihormati ahli dulu, kemudian baru dihormati orang Melayu.

"Selepas itu, barulah kaum lain akan menghormatinya," katanya yang menganggap Najib sendiri tidak dihormati ahli Umno, serta pemimpin lama yang sudah tidak menyokongnya seperti negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perhimpunan itu, atau nama rasminya Himpunan Rakyat Bersatu, diadakan sebagai bertindak balas kepada perhimpunan Bersih 4 hujung Ogos lalu, yang antara lain mendesak pembaharuan demokrasi dan peletakan jawatan Najib.

Kumpulan pro Umno yang menganjurkan perhimpunan baju merah itu mendakwa Bersih 4 menghina maruah orang Melayu, tetapi perhimpunan mereka yang kemudiannya bertukar perkauman dengan gesaan dibuat supaya sekolah Cina ditutup dan ungkapan seperti 'Cina babi' dilontarkan.

Jamal sekali lagi mencetuskan kontroversi minggu ini apabila beliau berkata akan ada satu lagi perhimpunan di Jalan Petaling semalam.

Beliau kemudiannya menafikan menggesa satu rusuhan diadakan, mendakwa kenyataan beliau disalah petik. Beliau ditangkap pada Jumaat dan dibebaskan malam tadi selepas kenyataannya diambil.

Sementara itu, ahli Pemuda Umno Bahagian Tenggara, Asrul Esreen Mohd Salleh, 39, menggesa supaya Jamal dan kerajaan mencontohi kejayaan peniaga di Jalan Petaling, di mana urus tadbir berjalan dengan baik dan tiada birokrasi.

"Jadikan perkara positif di Jalan Petaling boleh dicontohi generasi muda untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu.

"Contohi gabungan dan persatuan peniaga orang Cina, contohi urus tadbir peniaga bawahan, kurangkan birokrasi, paksa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bantu peniaga Melayu yang baru hendak naik," kata Asrul.

Bekas ahli jawatankuasa Pemuda Umno bahagian itu tidak bersetuju dengan provokasi Jamal, sebaliknya menggesa orang Melayu bersatu tingkatkan ekonomi mereka, dan bukannya dengan berlagak handal.

"Tidak perlu tunjuk handal dengan bangsa lain.

"Kenapa bangsa Cina sekarang nampak kuat dan maju? Sebab ekonomi Malaysia dipegang oleh mereka dan mereka bersatu," katanya dan turut mempersoalkan sumbangan sebenar Jamal kepada masyarakat Melayu dalam mempertahankan mereka.

Sementara itu, veteran Umno, Ramli Yunus menyifatkan tindakan Jamal sebagai sia-sia dan tidak menangani isu sebenar orang Melayu yang ketinggalan daripada segi ekonomi.

"Ia satu tindakan yang sia-sia, apa yang dia cuba nak buktikan? Mengenai monopoli, betulkah? Semak betul-betul sebelum buat tuduhan.

"Ini macam meraba-raba mencari dalil untuk menyalahkan kaum lain atas kesilapan kaum sendiri," kata aktivis parti itu.

Ramli, 63, menggesa supaya kerajaan berhati-hati menangani isu Jalan Petaling, terutamanya selepas lawatan Duta China yang memberi isyarat kesan diplomatik kepada pemimpin kerajaan, khususnya Umno, jika mereka terus memainkan sentimen perkauman.

"Saya melihat lawatan Duta China itu bukan satu lawatan biasa, ia hantar mesej tertentu. Kita kena berhati-hati dalam hubungan diplomatik ini," katanya.

Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan menaja kumpulan baju merah, Faizal tidak menolak dalang sebenar (mastermind) baju merah terdiri daripada pimpinan Umno sendiri kerana tindakan Jamal seolah-olah mendapat restu parti.

"Saya dapat rasakan seperti ada segelintir pimpinan Umno yang menjadi 'mastermind' (baju merah). Sebab itu Umno seperti merestui.

"Biasalah, sekurang-kurangnya ada modal untuk larikan perhatian daripada isu yang sedang panas dalam Umno dan kerajaan," kata Faizal yang meletak jawatan dalam Umno Bahagian kerana tidak bersetuju dengan Najib pada Mac lalu.

Jamal bersama Presiden Persatuan Tentera Veteran Melayu Mohd Ali Baharom, lebih dikenali sebagai Ali Tinju, merupakan 2 individu di belakang himpunan baju merah yang menyaksikan kekecohan tercetus di Jalan Petaling apabila sekumpulan peserta berkeras merempuh masuk ke kawasan peniaga yang tidak dibenarkan polis.

Jamal berkata, berhubung perhimpunan yang dirancang diadakan di Jalan Petaling, beliau hanya mahu mengetengahkan kebimbangan tentang kurangnya penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ke atas peniaga di sana.

Protes itu tidak diteruskan, tetapi, ramai anggota polis berada di kawasan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini semalam lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails