Wednesday, September 23, 2015

Bekas Naib Ketua Bahagian UMNO ditahan di bawah SOSMA


Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ditahan sekali lagi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di sini, hari ini.

Peguamnya, Matthias Chang ketika dihubungi Astro AWANI hari ini berkata tangkapan yang kedua ini adalah di bawah Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan atas kesalahan mengancam keselamatan negara.

Khairuddin yang dibebaskan selepas ditahan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan pada Jumaat lalu ditangkap semula ketika beliau meninggalkan kompleks mahkamah bersama-sama peguamnya itu pada kira-kira jam 4.40 petang tadi.

Seksyen 124K dan 124L masing-masing mengenai sabotaj dan cuba untuk mensabotaj negara.

Di bawah SOSMA, Khairuddin boleh ditahan tanpa bicara sehingga 28 hari.

Beliau pada mulanya ditangkap kerana disyaki bertindak untuk 'menjatuhkan kerajaan.'

"Mereka ingin menggunakan SOSMA yang bermakna Khairuddin boleh ditahan selama 28 hari tanpa perbicaraan," kata Matthias.

SOSMA telah digubal bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan untuk mengawal keselamatan negara termasuk ketenteraman awam, tindakan keganasan, sabotaj dan pengintipan.

Menurut Seksyen 4 (peruntukan utama) Akta ini , seorang pegawai polis mempunyai kuasa khas penangkapan dan reman ke atas orang yang disyaki mempunyai penglibatan dalam menyebabkan ancaman keselamatan berisiko tinggi.

Khairuddin pada Jumaat ditahan pihak polis di kediamannya di Mont Kiara beberapa hari sebelum beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dengan agen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat pada Isnin.

Isterinya, Datin Seri Umie Aida ketika dihubungi Astro AWANI selepas penahanan Khairuddin berkata, polis telah merampas beberapa barang-barang peribadi suaminya termasuk sebuah komputer riba, dua telefon bimbit dan kad sim semasa penahanan itu.

Berikutan penangkapan Khairuddin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan tindakan Khairuddin itu sebagai satu bentuk sabotaj yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan kedaulatan negara.

Khalid berkata Khairuddin seharusnya memberi ruang dan peluang kepada agensi-agensi penguatkuasa tempatan untuk menjalankan siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) lapor AstroAwani


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails