Sunday, August 30, 2015

Terima Kasih Mahathir, Tapi Silap Hang Jugak..


Naib Presiden PKR, Tian Chua mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menunjukkan sokongan kepada BERSIH 4 hari ini tetapi berkata ini tidak bermakna rakyat harus lupa masa lalu.

Tian Chua, yang secara kebetulan terserempak dengan Mahathir apabila beliau tiba berhampiran Dataran Merdeka malam tadi, telah mengiringi negarawan itu melalui orang ramai.

"Saya sempat bersalam dengan beliau tetapi kami tidak sempat bercakap apa-apa.

"Bagi saya Dr Mahathir berhak untuk menyatakan sokongan tapi ini juga tidak bermaksud rakyat harus lupa sebahagian daripada masalah ini adalah kerana sistem yang telah dibina olehnya dan ruang demokrasi telah tertutup sehingga kita terpaksa bergantung kepada kebangkitan kuasa rakyat," katanya.

Tian Chua pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa pentadbiran bekas perdana menteri itu pada tahun 2001.

Kerajaan Mahathir ketika itu menuduh Tian Chua dan beberapa aktivis lain, cuba untuk menggulingkan kerajaan menggunakan "bom, pelancar bom tangan, bom api, dan senjata berbahaya lain".

Bagaimanapun, Tian Chua berkata kehadiran Mahathir di perhimpunan BERSIH 4 hari ini adalah satu pengakuan bahawa gerakan popular oleh beliau dan aktivis lain itu, adalah betul.

"Akhirnya Dr Mahathir sendiri terpaksa akur bila dalam sistem yang autoritarian yang tidak ada ruang demokrasi, yang sebahagian daripadanya disebabkan puluhan tahun di bawah kuasanya - saluran yang paling berkesan untuk membetulkan kedaan dan membuat perubahan adalah melalui kuasa rakyat.

"Ini bagi saya satu kemenangan rakyat Malaysia kerana (BERSIH 4) dapat menarik sokongan semua pihak.

"Malah Dr Mahathir terpaksa akur bahawa kuasa rakyat satu saluran yang paling berkesan," kata Tian kepada Malaysiakini


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails