Friday, August 21, 2015

Tema 'BERSIH' pun sensitif?.. aparaa Pengarah Pelajaran Negeri ni..


Sekolah di Pulau Pinang diberi arahan supaya tidak menyertai sambutan Hari Merdeka bulan ini anjuran kerajaan negeri pembangkang sehingga arahan lain dikeluarkan berikutan tema tahun ini yang “sensitif”.

Difahamkan kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin DAP akan menggunakan tema “Bersih” bagi sambutan Hari Merdeka peringkat negeri tahun ini.

Acara sambutan itu akan diadakan di bahagian seberang Pulau Pinang pada 31 Ogos.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang Datuk Osman Hussain mengesahkan pengetua dan guru besar semua sekolah menengah dan kebangsaan dimaklumkan menerusi surat dari pejabatnya semalam.

Mereka diarahkan tidak menyertai acara itu sehingga dimaklumkan kemudian daripada Kementerian Pendidikan, katanya.


“Bukan kita larang sekolah menyertainya. Kita masih menunggu lampu hijau daripada kementerian. Masih ada 10 hari sebelum merdeka.

“Sambutan di sini dianjurkan kerajaan pembangkang dan tahun ini, mereka pilih tema yang agak sensitif.

“Kita bimbang jika sekolah ambil bahagian, akan tercipta satu persepsi yang mereka juga menyokong perhimpunan Bersih 4, di mana pihak berkuasa pusat sudah isytihar ia haram. Itulah keadaannya dan persoalan yang timbul."

“Setiap tahun tema daripada kerajaan negeri berbeza dan sebelum ini tidak ada isu. Hanya kali ini, temanya sensitif,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Osman berkata jika kementerian memberikan lampu hijau, maka tidak ada masalah untuk sekolah menyertai sambutan kerajaan negeri.

Katanya, jika keizinan tidak diberi, sekolah akan mengadakan sambutan Hari Merdeka di kawasan sekolah masing-masing. 

“Sekarang kita hanya boleh tunggu kementerian buat keputusan.”

Perhimpunan Bersih 4 anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih dijadualkan pada 29 dan 30 Ogos di Kuala Lumpur dan beberapa bandar utama.

Acara yang mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan itu diisytiharkan haram oleh polis.

Najib pada masa ini berada di bawah kritikan amat teruk oleh pembangkang dan persatuan sivil berikutan kontroversi yang menyelubungi syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion yang masuk ke akaun bank peribadinya 2 tahun lalu, tidak lama sebelum pilihan raya umum diadakan.

Tema sambutan Hari Merdeka peringkat kebangsaan tahun ini ialah #sehatisejiwa lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails