Thursday, August 13, 2015

Pesawat Milik Kerajaan Ditawar Untuk Dijual..


Pesawat eksekutif Boeing Business Jet (BBJ) 737-700 yang pernah digunakan sebagai penerbangan rasmi ketua kerajaan Malaysia ditawar untuk jualan tender RM80.5 juta, lapor Berita Harian.

Tawaran pembelian jet tersebut diiklankan sebuah akhbar tempatan, menyatakan pesawat yang kini dilupuskan itu terbuka kepada mana-mana individu dan syarikat yang berminat.

Difahamkan, pesawat eksekutif yang ditamatkan khidmatnya itu susulan pembelian pesawat baharu jenis Airbus Corporate Jet (ACJ320) bernilai RM465 juta, menurut akhbar itu hari ini.

Menurut kenyataan Bahagian Kewangan, Kementerian Pertahanan menerusi iklan yang disiarkan itu, mereka yang berminat wajib menghadiri taklimat tender serta lawatan tapak pada pagi Selasa depan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

"Tarikh tutup tender adalah pada 2 September ini. Dokumen tender boleh diperoleh daripada Cawangan Pegurusan Kewangan, Bangunan Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak mulai 18 Ogos (Selasa) dari jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang," kata kenyataan tawaran terbabit, semalam. 

Iklan tersebut turut menyatakan sebarang perbuatan atau percubaan rasuah untuk menawar, memberi, meminta atau menerima apa-apa suapan secara rasuah, adalah satu kesalahan jenayah mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pesawat BBJ 737-700 yang menggunakan nombor pendaftaran M53-01 merupakan pesawat kendalian TUDM.

Kerajaan sebelum ini memiliki 5 buah pesawat khas iaitu ACJ A319, BBJ, Fokker F28, Global Xpress, dan Falcon 900 yang diperuntukkan untuk kegunaan Yang di-Pertuan Agong, perdana menteri, dan timbalan perdana menteri.

Sebelum ini pada Ogos 2012, pesawat Fokker F28 dilupuskan kerana berusia lebih 30 tahun dan tiada pesawat gantian dicadangkan lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails