Tuesday, August 25, 2015

Pemimpin Umno Kedah kecewa, usul Najib letak jawatan


Naib Pengerusi Umno Cawangan Kampung Kuala Sin, Abd Karim Ali mempertahankan hujah dan usulnya pada persidangan Mesyuarat Perwakilan Bahagian Merbok, Kedah, 22 Ogos lalu yang menggesa Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Kecewa dengan isu yang melanda parti Melayu terbesar itu, Karim, 51, yang juga bekas ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok berkata, perubahan perlu dilakukan demi memastikan kemenangan parti pada pilihan raya akan datang.

"Hari ini semua orang tahu apa yang berlaku, kita tidak boleh bersembunyi lagi. Rakyat yang akan undi pada pilihan raya nanti seramai 15 juta orang.


"Kita (ahli Umno) hanya 3 juta saja. Jadi saya merayu sangat presiden berundur," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Dia (Tajul) hanya mahu lari daripada isu. Sewaktu saya usulkan, tiada sebarang bantahan dan undi sebulat suara.

"Kenapa ketua bahagian tidak bantah semasa usul tersebut dibentangkan? Semua sudah undi bersetuju," katanya.

Karim berkata, ia bukan satu kenyataan yang dibuatnya ketika membahaskan usul seperti dilaporkan portal Malaysiakini sebelum ini.

Sebaliknya, beliau berkata ia cadangan untuk membuat pindaan kepada usul dan mendapat sokongan sebulat suara melalui undian semua perwakilan, termasuk ahli jawatankuasa (AJK) bahagian.

Malah, pengerusi tetap persidangan Umno juga katanya meluluskan dan menerima usul pindaan ini. Malaysiakini sebelum ini melaporkan ketua Bahagian Merbok menafikan kenyataan Karim itu sebagai usul mesyuarat sepertimana yang dispekulasi pengguna media sosial.

Karim dikatakan hanya mengeluarkan kenyataan itu ketika membahaskan usul politik.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Jalan Badlishah, Anuar Abd Hamid turut berkata usul tersebut sebulat suara diterima pada hari tersebut.

Beliau turut mendesak pemimpin nombor satu parti itu berundur untuk menyelamatkan Umno.

"Semua sebulat suara. Lepas tepukan gemuruh diterima perwakilan tersebut, kita buat undi dan semua sebulat suara terima," katanya kepada The Malaysian Insider.

Anuar, 64, ketua cawangan selama lebih sedekad itu juga menggesa isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan dengan kadar segera.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu yang disifatkan memberi kesan kepada imej parti itu.

"Tubuhkan RCI, siasat segera. Kini saksi sudah hilang. Macamana nak selesaikan isu 1MDB ini?," soalnya.

Anuar berkata, mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Merbok pada 22 Ogos lalu mempunyai lebih 130 cawangan dengan anggaran hampir 600 perwakilan.

Katanya, mesyuarat itu dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi.

Karim dan Anuar menjadi perhatian di media sosial apabila video perbahasan mereka pada mesyuarat Sabtu lalu dimuat naik ke laman Facebook.

Sebelum ini pada 16 Ogos, Pemuda Umno Bahagian Tampin di Negeri Sembilan sebulat suara menerima dan meluluskan usul meminta Najib meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno pada mesyuarat perwakilan Pemuda bahagian itu.

Usul tergempar diketengahkan ahli Pemuda Cawangan Kampung Ulu Ladang, Azman Abdullah. Ia mendapat sambutan positif daripada majoriti lebih 200 ahli yang hadir lapor The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails