Thursday, August 27, 2015

Melayu masih ‘bangsat’ di bawah UMNO, kata Perkasa


Datuk Ibrahim Ali tidak bersetuju orang Melayu akan menjadi bangsat jika Umno tidak lagi memerintah negara kerana sifat itu jelas kelihatan kepada orang Melayu sejak Umno memerintah negara.

Presiden Perkasa itu berkata, ia dapat dibuktikan dengan pegangan ekonomi orang Melayu yang masih lemah di ibu kota apabila gagal memiliki rumah mewah di Kuala Lumpur.

"Walaupun Umno dah memerintah sejak Merdeka, ada lagi Melayu yang bangsat. Faham tak?

"Pada saya sekarang ini pun orang Melayu dah bangsat sebab orang Melayu yang layaknya rumah murah, PPR, rumah mampu milik.

"Tak boleh duduk di Seri Kembangan, TTDI, Mount Kiara dan pakai baju harga RM20,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Perkasa di Kuala Lumpur petang semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Ahad berkata orang Melayu Islam akan "terbangsat" sekiranya Umno tidak lagi memerintah negara.

Katanya, perkataan bangsat dipilih kerana tidak ada perkataan lain yang boleh menggambarkan keadaan orang Melayu, yang akan cukup tertekan jika Umno kehilangan kuasa.

"Saya pilih perkataan orang Melayu akan terbangsat kalau Umno hilang kuasa. Terbangsat... tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan untung nasib yang cukup tertekan, hilang segala-galanya, hilang kuasa, hilang maruah dan hilang masa depan," katanya.

"Kalau tak ada Umno, apa berlaku dekat orang Melayu Islam? Ada orang kata, kami akan tersungkur, kecundang, tertiarap." lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails