Monday, August 17, 2015

AMANAH Nama Parti Islam Yang Baru?


Parti Amanah Rakyat atau “Amanah” dijangka menjadi nama rasmi parti Islam baharu yang ditunggu-tunggu, ditubuhkan daripada kumpulan serpihan pemimpin PAS dan ahli badan bukan kerajaan Islam.

Dijangka dilancarkan pada Hari Kemerdekaan, menurut sumber, parti yang berteraskan Islam itu akan menggunakan warna Gerakan Harapan Baru (GHB) sekarang iaitu oren sebagai warna tema partinya.

Nama dan logonya akan dihantar ke Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak lama lagi sebelum dilancarkan secara rasmi pada 31 Ogos.

Keputusan mengenai nama, logo dan warna parti itu dimuktamadkan pada mesyuarat di Shah Alam semalam yang dihadiri pemimpin-pemimpin Gerakan Harapan Baru (GHB), yang merupakan sebahagian daripada ahli Parlimen dan pemimpin politik PAS yang paling menonjol.

GHB adalah pelopor kepada parti baharu ini.

Menurut satu temu bual terdahulu dengan bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, keanggotaan ahli dan pemimpin PAS akan terbatal sebaik sahaja mereka menyertai parti politik yang lain.

Selain ahli PAS dari seluruh negara kata sumber itu, Amanah akan terdiri daripada pemimpin utama beberapa NGO Islam terbesar negara seperti Abim, Ikram dan Haluan.

Difahamkan hampir 70% pemimpin PAS dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan akan meninggalkan parti itu dan menyertai Amanah sebaik sahaja ia ditubuhkan nanti.

Sehingga kini, Amanah yang bakal ditubuhkan sudah sedia dengan penyelarasnya di setiap negeri dan kawasan Parlimen di seluruh negara yang terdiri daripada bekas pemimpin kanan PAS sebelum ini yang dilantik menerusi GHB.

Parti itu dijangka bekerjasama dengan DAP dan PKR membentuk pakatan pembangkang baharu selepas Pakatan Rakyat dibubarkan apabila hubungan PAS dan DAP secara rasmi berakhir pada Jun lalu.

PAS dijangka bergerak sendiri tetapi akan cuba mengekalkan hubungannya dengan PKR bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru dengan parti yang baharu pada Pilihan Raya Umum ke-14 lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails