Friday, July 3, 2015

Tidak mustahil PAS dan UMNO bergabung kembali kata Bekas Menteri


Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik percaya Pas dan Umno akan bergabung kembali mewujudkan kerjasama membentuk kerajaan.

Menurutnya, perkara itu tidak mustahil akan berlaku jika Pas sanggup bekerjasama dengan parti bukan Melayu yang berada dalam BN.

“Untuk melihat penggabungan ini berjaya perlu melihat kesudian Pas untuk bekerjasama dengan parti bukan Melayu seperti MCA dan MIC yang ada dalam BN.

“Penggabungan Pas dan Umno adalah idea yang baik melihatkan kepada senario politik kini,” katanya, semalam.

Beliau berkata, Pas dan Umno perlu menghentikan persengketaan yang telah lama wujud antara kedua-dua parti tersebut.

“Sampai bila nak bergaduh? Ini bukan waktu untuk bergaduh lagi. Kalau boleh bergabung itu adalah yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua parti perlu memikirkan idea penggabungan ini secara serius demi kepentingan Melayu dan Islam.

“Saya percaya sudah ada cakap-cakap dalam kedua-dua parti (mengenai penggabungan ini). Jika tidak, mana mungkin perkara ini akan diperkatakan sekarang,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal menyiarkan kenyataan bekas pemimpin kanan BN yang tidak mahu dinamakan bahawa kedua parti ini akan berganding bahu dalam menghadapi PRU14 lapor Sinar Harian


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails