Wednesday, July 22, 2015

Tak jawab bukan bermakna WSJ mengaku bersalah...


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan peguamnya seharusnya terus menyaman Wall Street Journal berhubung laporan mereka yang mendakwa sejumlah wang AS$700 juta (RM2.6 bilion) telah dimasukkan ke dalam akaun beliau.

Peguam berpengalaman, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, Wall Street Journal dilihat tidak akan memberi maklum balas kepada surat meminta penjelasan (letter of clarification) yang dihantar oleh barisan peguam Najib pada 8 Julai lalu.

Beliau berpendapat, Wall Street Journal mungkin merasakan tiada keperluan untuk membalas surat berkenaan kerana bagi mereka semuanya sudah jelas di dalam artikel berkenaan.

"Saya tidak rasa Wall Street Journal akan memberi maklum balas kepada surat yang dihantar oleh peguam-peguam Perdana Menteri kerana surat tersebut hanya berkehendakan penjelasan daripada penerbitan berkenaan. Ia bukan letter of demand cuma letter of clarification.

"Tiada apa yang perlu dijelaskan lagi kerana semuanya sudah ditulis di dalam laporan tersebut maka Najib perlu meneruskan dengan tindakan menyaman kerana telah membuat fitnah serta membawa kerosakan kepada imej beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi.

Memetik laporan Berita Harian, Peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, firma berkenaan masih belum menerima sebarang maklum balas daripada penerbit Wall Street Journal dan Dow Jones biarpun tarikh akhir untuk berbuat demikian tamat hari ini.

Tambah beliau, sikap berdiam diri penerbitan tersebut memberi gambaran mereka sudah mengaku bersalah. Bagaimanapun menurut Abdul Aziz, itu tidak semestinya berlaku.

"Berdiam diri dan tidak memberi maklum balas kepada letter of clarification bukan bermakna mereka sudah mengaku bersalah. Seperti yang saya katakan tadi, surat yang dihantar oleh peguam Najib adalah letter of clarification bukan letter of demand.

"Sekiranya penerbitan berkenaan tidak nampak keperluan untuk memberi penjelasan kerana bagi mereka laporan tersebut sudah jelas, maka mereka tidak akan menjawab," ujar beliau lagi.

Tambah Abdul Aziz, disebabkan Wall Street Journal dan Dow Jones berpangkalan di Amerika Syarikat, Najib dan barisan peguamnya perlu meneruskan prosedur perundangan mengikut sistem negara berkenaan. - MalaysiaGazette


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails