Saturday, July 4, 2015

Wall Street Journal pertahan pendedahan mengenai dana 1MDB dan Najib


Ketua Biro Wall Street Journal (WSJ) di Hong Kong berkata laporan yang mendakwa dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai jutaan dolar Amerika disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak berdasarkan daripada penyiasatan yang boleh dipercayai dan bukan siasatan berniat politik.

Ken Brown memberitahu saluran CNBC bahawa WSJ sangat berhati-hati dengan laporan itu kerana ia melibatkan seorang pemimpin negara.

"Kami amat berhati-hati dan kami percaya siasatan dan dokumen kita adalah kukuh dan datang dari siasatan yang boleh dipercayai dan bukan siasatan politik.

"Ia adalah satu berita yang penting dan kami sangat serius.

"Bila-bila masa anda berkata seorang pemimpin negara telah...atau sekurang-kurangnya bukti menunjukkan wang telah dikemukakan kepada akaun peribadi, dan berkait kepada urusan kerajaan, ia penuh drama," Brown berkata kepada saluran perniagaan itu.

Brown berkata, dokumen yang mereka miliki telah dikongsi dengan Peguam Negara Malaysia (Tan Sri Abdul Gani Patail) dan juga telah dilihat oleh Perdana Menteri Malaysia.

Selepas laporan WSJ diterbitkan pada Jumaat, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di akaun Facebook mengkritik tindakan beberapa individu yang "menjejaskan keyakinan dalam ekonomi negara, mencemarkan nama kerajaan dan Perdana Menteri dan ingin menjatuhkan Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik."

Menurut kenyataan itu, tuntutan terbaru adalah sebahagian daripada sabotaj politik berterusan yang bertujuan untuk mengelirukan pihak media dan orang ramai dengan menggunakan dokumen yang dipinda.

Brown membalas kritikan itu dan berkata: "Dan mereka menuduh lawan politik mereka untuk menyerangnya.

"Dan mereka berkata benda yang sama mengenai laporan awal kami mengenai 1MDB, iaitu wang dana itu diambil dan digunakan dalam kempen pilihan raya lepas oleh Perdana Menteri, jadi reaksi mereka sama."

Apabila ditanya sama ada beliau tahu dari mana sumber wang berkenaan, Brown berkata mereka "tahu apa yang mereka tahu", sambil menambah satu bahagian adalah daripada salah satu unit Kementerian Kewangan manakala satu lagi bahagian datang melalui sebuah bank swasta berkaitan dengan Abu Dhabi, yang katanya mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia dan menanggung beberapa bon 1MDB.

Dalam temu bual itu, Brown akui tidak tahu di mana wang itu pergi.

"Aliran yang kita tahu berakhir di akaun bank (dengan) nama Perdana Menteri," katanya.

Semalam, WSJ dan Sarawak Report telah menerbitkan laporan wang 1MDB yang dipindahkan ke akaun AmBank peribadi milik Najib.

WSJ melaporkan bahawa dokumen itu telah dikesan hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) telah dipindahkan ke sebuah agensi kerajaan dan kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri dalam deposit berasingan.

Pada hari yang sama, Najib berkata beliau akan mengambil tindakan terhadap WSJ.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata, laporan tersebut disifatkan sebagai satu fitnah jenayah.

"Laporan itu sungguh berniat jahat dan tidak berasas dengan sumber yang lemah dan meragukan.

"Kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang," Khairun Aseh dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails