Wednesday, July 1, 2015

Penangguhan Pemilihan wajar sebab pemimpin UMNO takut dengan bayang-bayang sendiri - Utusan


Memandangkan kebanyakan pemimpin parti UMNO masih lagi dibelenggu sindrom "takut dengan bayang-bayang sendiri" penangguhan pemilihan parti itu adalah tepat menurut Utusan.

Pengarang kanannya, Zulkiflee Bakar berkata, dalam Umno sendiri wujud perpecahan kerana terlalu mahu mempertahankan atau merebut jawatan sehingga melihat kehadiran "orang baru" sebagai saingan.

"Kewujudan orang baru dalam satu-satu bahagian bukan dianggap satu rahmat sebaliknya menggugat kedudukan orang lama. Sindrom takut kepada bayang-bayang ini turut merebak di peringkat negeri. 

"Kalau begitulah situasinya, apa akan berlaku jika pemilihan tetap dilangsungkan seperti mana dijadualkan?

"Sudah pasti perpecahan hanya akan bertambah buruk dan menjejaskan peluang Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang," tulisnya dalam akhbar milik Umno itu hari ini.

Selain itu menurutnya lagi Jentera propaganda pakatan pembangkang jauh lebih efisien berbanding jentera penerangan UMNO mahupun Barisan Nasional (BN).

Serangan demi serangan, persepsi demi persepsi yang dilakukan oleh pembangkang melalui media-media mereka ternyata tidak mampu ditepis oleh UMNO dan BN.

Sebaliknya apa yang kita sering saksikan, ada ketikanya jentera UMNO ‘menyerang sesama sendiri’ bagi mempertahankan pemimpin yang mereka sokong.

Akibatnya UMNO tidak mendapat keuntungan sebaliknya rakyat semakin terpedaya dengan propaganda pembangkang.

Berikut adalah artikel penuhnya..

Peluang perkukuhkan UMNO



TIADA mana-mana kelompok atau kumpulan dalam UMNO yang perlu kecewa atau kesal apabila Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan menangguhkan pemilihan parti itu tahun depan.

Sebaliknya mereka perlu menganggap ia sebagai satu rahmat dalam usaha memperkukuhkan parti. Perlu diakui UMNO kini bukanlah berada dalam keadaan selesa. Terlalu banyak isu yang perlu diselesaikan.

Walaupun pakatan pembangkang sendiri berada dalam keadaan cacamarba tetapi UMNO pula terpaksa bergelut dengan pelbagai serangan dari luar.

Justeru penangguhan itu perlu digunakan sebaik-baiknya untuk memperbaiki kelemahan dan mempertingkatkan keupayaan bagi meraih sokongan rakyat. Mana-mana juga pemimpin UMNO tidak boleh menganggap parti itu sudah kuat dan tidak berhadapan dengan masalah.

Tidak perlu terlalu lama bernostalgia dengan kejayaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 lalu kerana situasi dan masa sudah berubah. Sejak PRU tersebut banyak isu membabitkan kerajaan dan parti yang memerlukan rakyat diberikan penerangan dengan sejelas-jelasnya.

Jentera propaganda pakatan pembangkang jauh lebih efisien berbanding jentera penerangan UMNO mahupun Barisan Nasional (BN). Serangan demi serangan, persepsi demi persepsi yang dilakukan oleh pembangkang melalui media-media mereka ternyata tidak mampu ditepis oleh UMNO dan BN.

Sebaliknya apa yang kita sering saksikan, ada ketikanya jentera UMNO ‘menyerang sesama sendiri’ bagi mempertahankan pemimpin yang mereka sokong. Akibatnya UMNO tidak mendapat keuntungan sebaliknya rakyat semakin terpedaya dengan propaganda pembangkang.

Begitu juga dari segi isu, jentera BN dan UMNO masih terlalu lemah untuk menjawab isu yang sengaja dicetuskan oleh pakatan pembangkang khususnya melalui laman-laman sosial, tetapi yang aneh mereka berbangga kononnya jentera mereka hebat dan berupaya menangkis serangan terhadap parti.

Bagaimanapun hakikat di lapangan tidak menunjukkan fakta itu, imej UMNO dan BN semakin merudum akibat fitnah dan tohmahan pembangkang.

Berikutan keadaan itulah, UMNO di seluruh negara tidak boleh lagi bergantung kepada jentera di peringkat pusat untuk memberi penjelasan kepada rakyat.

Sebaliknya mereka sendiri sama ada di peringkat bahagian dan cawangan mengadakan aktiviti penerangan bagi mengukuhkan sokongan rakyat. Namun bagi melaksanakan misi itu apa paling penting ialah perpaduan dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO.

Perlu diakui di peringkat bahagian-bahagian perpecahan masih lagi berlaku. Tidak kira sama ada di peringkat jawatan bahagian mahupun sayap, masing-masing mahu mempertahankan jawatan atau merebut jawatan.

Kewujudan orang baru dalam satu-satu bahagian bukan dianggap satu rahmat sebaliknya boleh menggugat kedudukan orang lama. Sindrom takut kepada bayang-bayang ini turut merebak di peringkat negeri.

Kalau begitulah situasinya apakah akan berlaku jika pemilihan tetap dilangsungkan seperti mana dijadualkan? Sudah pasti perpecahan hanya akan bertambah buruk dan boleh menjejaskan peluang BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Akuilah masih ramai dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO belum bijak berpolitik. Mereka tidak akan menganggap kekalahan dalam pemilihan parti adalah demi untuk kebaikan parti.

Sebaliknya mereka akan menjadikan kekalahan itu sebagai `peluru’ untuk membalas dendam dalam pilihan raya. Mereka sanggup mengkhianati parti sendiri kerana tidak mendapat jawatan dalam parti.

Oleh itu, keputusan menangguhkan pemilihan seperti mana diputuskan oleh MT adalah langkah yang tepat dan penulis dimaklumkan ia memang atas permintaan ahli-ahli peringkat akar umbi dan bukannya arahan mana-mana pihak.

“Berdasarkan tinjauan yang dibuat dan maklum balas yang diterima, ahli-ahli akar umbi merasakan UMNO tidak boleh mengadakan pemilihan parti kerana tumpuan seluruh tenaga perlu diberikan kepada persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum.

“Terlalu banyak perkara dan isu yang perlu kita selesaikan sebelum UMNO memasuki gelanggang pilihan raya. Kalau kalah dalam parti ia tidak menjejaskan UMNO tetapi kalau kalah dalam pilihan raya, parti yang akan menerima akibatnya,’’ kata seorang pemimpin muda UMNO.

Selain memperkukuhkan parti, adalah diharapkan dalam tempoh penangguhan ini, sesetengah pemimpin sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat bermuhasabah apakah mereka masih lagi relevan untuk terus memegang jawatan dalam parti atau tidak.

Buatlah penilaian dengan seikhlas-ikhlasnya dengan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi. Ia memandangkan PRU-14 adalah amat penting kepada survival UMNO dan BN.

Janganlah sampai segala masalah parti dapat diselesaikan, masalah individu pula menghalang peluang BN untuk mencapai kejayaan ~ Utusan


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails