Tuesday, July 28, 2015

Najib Pecat Muhyiddin, Gani Patail untuk elak disiasat, dakwa Azmin


Tindakan menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri dan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara memberikan gambaran Datuk Seri Najib Razak, bertindak mempertahankan kedudukan dan regimnya daripada disiasat panel bebas atas pelbagai salahguna kuasa dan rasuah yang melibatkan berbilion ringgit, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Azmin berkata, Malaysia terjerumus ke dalam gaung krisis yang makin parah dengan penyingkiran Muhyiddin daripada Kabinet selepas beberapa hari selepas beliau memberi kenyataan perdana menteri perlu memberikan jawapan kepada skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Negara memerlukan reformasi menyeluruh untuk memulihkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa demi menyelamatkan ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan rakyat," kata timbalan presiden PKR itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu menggesa agar ahli-ahli Parlimen tanpa mengira parti perlu bersatu padu untuk menyelamatkan Malaysia.

Beliau berkata, rakyat tidak memberikan dokongan kepada mana-mana ahli Parlimen untuk duduk diam dan membiarkan negara menjunam ke dalam gaung krisis yang semakin parah.

"Dalam pertemuan saya selama lebih dua jam pada Jumaat lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan pesan agar rakyat Malaysia dan NGO bersatu untuk bersama dalam membawa perubahan."

Azmin turut berkata, PKR turut memulakan siri jelajah Amanat Presiden sejak seminggu yang lalu untuk memupuk perpaduan dalam parti sebagai asas untuk menggembleng kekuatan rakyat dan semua kekuatan politik dalam negara untuk melaksanakan perubahan.

Rombakan Kabinet yang diumumkan Najib hari ini menyaksikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai timbalan perdana menteri yang baharu dan pada masa sama akan mengekalkan portfolionya sekarang sebagai menteri dalam negeri.

Najib membuat pengumuman tersebut hari ini dalam satu siaran secara langsung, sekaligus mengesahkan laporan The Malaysian Insider pagi ini mengenai rombakan Kabinet dan penyingkiran Muhyiddin lapor The Malaysian Inisider


Kenyataan media Najib mengenai penyingkiran Muhyiddin dan senarai Menteri Kabinet yang baru sila lihat di SINI


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails