Thursday, July 2, 2015

"Menangis emak.. terima penyata hutang dari Felda RM146,502.32" luah anak Peneroka


Seorang peneroka Felda terkejut apabila menerima penyata hutang sebanyak RM146,502.34 selepas proses penanaman semula ladang kelapa sawitnya yang dibuat melalui syarikat Felda Technoplant Sdn Bhd.

Ia disuarakan anaknya Zurina Amnan melalui akaun Facebook beliau yang kemudiannya mendapat reaksi yang pelbagai dari orang ramai.

"Terkejut dan menangis emak saya... Penyata hutang yang Felda Technoplant bagi semalam, ayah saya berhutang dengan Felda RM146,502.32," tulisnya.



Katanya, hutang bapanya itu masih sedikit jika dibandingkan dengan hutang para peneroka Felda lain yang terlibat dalam penanaman semula melalui anak syarikat Felda itu selama tiga tahun.

Susulan itu, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan reaksi beliau berhubung perkara itu.

"Jika perdana menteri prihatin dan menghargai jasa dan pengorbanan para peneroka, beliau boleh umumkan 'hutang peneroka dikaji semula'. Mungkin boleh lakukannya sebagai permulaan kepada insentif Hari Raya.

"Ia akan menjadi hadiah istimewa peneroka menjelang Hari Raya!" kata Mazlan, bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat yang meletakkan jawatan, dalam satu kenyataan.

Beliau amat bersimpati dengan apa yang diluahkan Zurina itu, menyatakan beliau dan sudah sekian lama membangkitkan isu yang meninggalkan kesan besar kepada komuniti Felda itu.

"Hakikatnya, inilah antara isu besar yang saya dan peneroka bangkitkan sekian lama. Saya masih menyimpan begitu banyak resit penyata tanam semula peneroka yang menyatakan kedudukan hutang mereka," kata Mazlan lapor The MAlaysian Insider


Setakat ini, katanya, mengikut rekod beliau, terdapat peneroka yang menanggung hutang tanam semula berjumlah RM157,000.

Skim penanaman semula melalui Felda Technoplant itu merupakan antara dasar yang didakwa memberi kesan yang mendalam kepada peneroka Felda.

Di bawah dasar itu, peneroka dihalang daripada menanam semula secara persendirian tanpa seliaan Felda Technoplant yang menyebabkan peneroka akhirnya terpaksa menanggung hutang tanpa kerelaan mereka sendiri.

Melalui rancangan ini, peneroka tidak diberi pilihan melainkan menyerahkan tanggungjawab penanaman semula kepada Felda Technoplant.

Mereka diberi wang sara hidup setiap bulan bagi menampung kos tanaman mereka sebelum kelapa sawit mengeluarkan hasil.

Mazlan dalam kenyataannya berkata, ketika Datuk Ahmad Maslan menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyelenggara Felda, beliau pernah membangkitkan betapa tidak 'masuk akal' hutang yang begitu tinggi ditanggung peneroka.

Menurutnya, banyak aduan mengenai hutang peneroka yang beliau kemukakan kepada Felda.

"Dalam kes Gugusan Trolak di Perak umpamanya, ia sampai ke peringkat laporan polis apabila peneroka hilang sabar mengenai jumlah hutang yang 'mengarut'.

"Akhirnya, ia dapat diselesaikan dan penyata baru dikeluarkan," katanya.

Anak, kata Mazlan, menubuhkan jawatankuasa menangani hutang peneroka yang di pengerusikan oleh Abd Rahman Ramli, Pengerusi Badan Kebangkitan Peneroka Kebangsaan (Bangkit) lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails