Monday, July 13, 2015

Low Yat: Jumlah tangkapan 19 orang setakat ini dan KPN arah PapaGomo ditangkap


Tidak sampai 24 jam selepas kekacauan di sekitar Plaza Low Yat di tengah ibu negara malam tadi, pasukan polis menggerakkan usaha memburu individu yang disyaki terlibat mencetuskan insiden itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan polis menangkap blogger yang dikenali sebagai Papa Gomo.

Blogger itu dikehendaki kerana menyebarkan berita palsu berhubung kekecohan di pusat barangan komputer itu pada Sabtu.

Mahkamah dalam satu kes saman sivil pada 2013 mengenal pasti blogger dengan nama Papa Gomo sebagai Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Ketua Polis Negara juga mengesahkan apa yang berlaku pada Sabtu itu bermula dengan kejadian curi telefon dan bukannya peniaga menipu pembeli telefon.

Remaja yang bersubahat dengan suspek curi itu kemudian mengada-adakan cerita kononnya mereka ditipu.

Berita palsu itu kemudiannya merebak melalui media sosial dan membawa kepada tunjuk perasaan hampir 200 orang malam tadi, yang kemudiannya bertukar ganas.

Selain Papa Gomo, Khalid juga mengarahkan polis memburu pengguna media sosial yang menyebarkan berita palsu itu lapor AstroAwani

Dalam masa yang sama Astro Awani juga melaporkan jumlah yang telah ditangkap berhubung insiden ini ialah seramai 19 orang, angka ini tidak termasuk PapaGomo..

Kes Low Yat: Jumlah tangkapan 19 orang setakat ini



KUALA LUMPUR: Jumlah angka tangkapan berhubung insiden pergaduhan dan rusuhan di Plaza Low Yat meningkat kepada 19 orang setakat ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam satu pesanan ringkas WhatsApp pada Astro AWANI malam ini, berkata jumlah itu tidak termasuk blogger yang dikenali sebagai Papa Gomo.

Khalid sebelum ini telah mengarahkan polis untuk memburu blogger yang bernama Wan Muhammad Azri Wan Deris itu kerana menyebarkan berita palsu berhubung kekecohan di pusat barangan komputer itu pada Sabtu.

"Eloklah dia (Papa Gomo) tampil menyerah diri sebelum polis mencarinya, polis akan menahannya untuk membantu siasatan," katanya.




Sementara itu, kesemua individu yang ditangkap adalah lelaki warga tempatan berusia dari 16 hingga 26 tahun. Difahamkan, perintah tahanan reman telah dikeluarkan hari ini selama empat hari.

Kesemua suspek juga akan menjalani ujian air kencing bagi memastikan penggunaan dadah. Polis juga sedang mendapatkan kerjasama daripada pekerja premis perniagaan Oppo untuk membantu siasatan berhubung kes kecurian telefon.

Sepanjang rusuhan yang berlaku di Plaza Low Yat sejak malam Sabtu hingga awal pagi Ahad, seramai tujuh orang dilaporkan cedera; tiga daripadanya adalah pengamal media.

Ketegangan tercetus di luar plaza itu sejurus selepas tengah malam Sabtu apabila pergaduhan terjadi antara dua kumpulan, hanya beberapa jam selepas polis mengarahkan kumpulan besar di luar plaza itu bersurai.

Insiden yang berlaku termasuk tumbuk-menumbuk. Topi keledar dan barang lain turut dilempar terhadap satu sama lain.

Bagaimanapun, pihak polis hari ini mengesahkan kawasan sekitar Bukit Bintang selamat untuk dikunjungi dengan anggota polis sentiasa berkawal.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini juga menasihati pengguna media sosial supaya tidak mempercayai bulat-bulat apa yang tersebar di Internet berhubung kes rusuhan di Plaza Low Yat baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab memuat naik gambar-gambar palsu di media sosial hanya sekadar menghangat kes ini dan memberi perspektif tidak tepat kepada orang ramai.


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails