Tuesday, July 14, 2015

Insiden Low Yat: Ali Tinju Ditahan, PapaGomo diburu Polis..


PRESIDEN Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai ‘Ali Tinju’ dilaporkan ditahan polis di bawah Akta Hasutan susulan insiden yang berlaku di Plaza Low Yat baru-baru ini.

Difahamkan, Ali Tinju yang juga merupakan seorang aktivis ditahan di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur kira-kira jam 11.30 pagi tadi setelah dipanggil untuk memberi keterangan. 

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa mengesahkan penahanan itu. Menurut laporan China Press, Ali Tinju ditahan kerana didakwa membuat ucapan berbaur sentimen perkauman di luar plaza itu pada malam Ahad lalu.

Menerusi laman Facebooknya, Ali Tinju memberi bayangan berita tersebut dengan memuat naik status berbunyi “Malam ini Ali Tinju tidur di rumah besi”.

Pada tahun 2012, Ali Tinju pernah menarik perhatian ramai apabila menganjurkan ‘senaman punggung’ di luar rumah bekas pengerusi Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan sebagai tanda protes terhadap penganjuran Perhimpunan Bersih.

Selain itu, Ali Tinju yang merupakan penyelaras kumpulan Sekretariat Gabungan Sahabat 1Malaysia juga pernah menimbulkan kekecohan ketika berlangsungnya forum Nothing To Hide di Pusat Dagangan Dunia Putra, bulan lalu.

Dalam pada itu, polis sedang dalam usaha menahan blogger Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris yang dikatakan menyebar maklumat mengelirukan di media sosial berhubung insiden rusuhan di luar Plaza Low Yat pada Ahad. – MYNEWSHUB.CC

Sebelum itu itu The Malaysian Insider melaporkan..

Polis akan menahan seorang ahli politik dan blogger upahan Umno, Papagomo selepas gagal menyerahkan diri berikutan cuba mencetuskan ketegangan kaum di Plaza Low Yat pada Ahad lalu, lapor The Star Online. 
Ahli politik berkenaan didakwa menyampaikan ucapan berbaur hasutan di luar Plaza Low Yat seperti disiarkan di laman sosial manakala Papagomo didakwa menyebarkan gambar kononnya "mangsa" kekecohan sehingga memburukkan lagi keadaan. 
"Kita sudah arahkan mereka serah diri tetapi mereka tidak berbuat demikian. 
"Hari ini, kita akan cari dan tahan mereka," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar seperti dilaporkan portal milik MCA itu. 
Video ucapan perkauman ahli politik itu kemudiannya menjadi viral malah disiarkan di laman media sosial Facebook. 
Khalid berkata, individu lain berucap di hadapan bangunan Plaza Low Yat mengajak orang ramai merusuh, juga ‎perlu bersedia menghadapi nasib sama.

"Kita bagi mereka peluang serah diri tetapi ‎mereka mensia-siakannnya. 
"Sekarang ingat kata saya, kita akan datang tangkap mereka," katanya.



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails